Monolit besi setinggi 3.04 meter ditemukan di lereng bukit Wales, United Kingdom (UK).
LONDON: Sebuah monolit perak ditemukan di lereng bukit Wales di United Kingdom (UK) sekali gus membangkitkan kenangan lama apabila struktur serupa pernah muncul di seluruh dunia pada tahun 2020.
Menurut Utusan Malaysia, UPI News melaporkan, seorang penduduk dikenali sebagai Richard Haynes menemukan monolit misteri itu.
Menurut Haynes, dia ternampak monolit setinggi 3.04 meter itu apabila sedang berlari di Hay Bluff, berhampiran Hay-on-Wye di Powys.
Jelas Haynes, pada mulanya, dia menyangka monolit itu merupakan objek digunakan dalam penyelidikan saintifik untuk mengumpul air hujan.
“Namun, kemudian saya menyedari objek itu terlalu tinggi dan merasakan agak pelik untuk kegunaan penyelidikan.
“Saya menghampiri objek itu dan mendapati ia setinggi 3.04 meter, berbentuk segi tiga dan sudah pasti keluli tahan karat.
“Ia kosong dan saya bayangkan objek itu cukup ringan untuk dua orang mengangkat dan menanamnya di dalam tanah,” katanya kepada Wales Online.
Objek itu dikatakan serupa dengan monolit besi yang ditemukan di kawasan gurun Utah, barat Amerika Syarikat (AS) pada 2020.
Ia diikuti dengan penemuan lanjut di beberapa lokasi lain termasuk California, Texas, Florida, Wisconsin, Romania dan Pulau Wight England.
Pengumpul karya seni dikenali sebagai The Most Famous Artist kemudian mengambil kredit untuk penemuan beberapa monolit berpangkalan di AS.
Setakat ini, tiada mana-mana individu tampil mendakwa bertanggungjawab ke atas monolit yang ditemukan di Wales itu.


































