Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Kabinet masih meneliti keperluan sama ada Malaysia mahu menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 menggantikan Victoria yang menarik diri menganjurkan temasya tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tiada garis masa tetap untuk keputusan itu kerana terdapat pelbagai faktor harus dipertimbang sebelum Malaysia benar-benar bersedia memainkan peranan sebagai tuan rumah sukan komanwel.
“Sekarang masih belum ada keputusan yang muktamad lagi kerana perkara ini harus diteliti secara terperinci di peringkat Jemaah Menteri. Jadi, semua harus menunggu,” katanya ringkas ketika ditemui di Parlimen semalam.
Beliau ditanya mengenai perkembangan terkini jika Malaysia berminat menjadi tuan rumah temasya berkenaan selepas Victoria yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23, namun menarik diri pada Julai tahun lalu.
Victoria beralasan ia disebabkan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjur temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.
Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.
Pada 9 Mac lalu, Hannah berkata, keputusan sama ada Malaysia berminat menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 akan dibuat oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Katanya, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri bagi membuat sebarang keputusan.
Pada Julai 2023, Hannah dilaporkan berkata, Malaysia tidak berhasrat menggantikan Victoria yang menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 kerana mahu memberi fokus menganjurkan Sukan SEA 2027.
Kelmarin, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dilaporkan menawarkan Malaysia untuk menggantikan Victoria selaku tuan rumah penganjuran Sukan Komanwel 2026.
Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, CGF membuat pelawaan rasmi kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan CGA Malaysia bulan lalu, malah MOM memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan supaya mempertimbang tawaran itu.
Norza berkata, kerajaan perlu mempertimbang pelawaan tersebut memandangkan tawaran itu adalah peluang terbaik untuk meletakkan Malaysia kembali di peta dunia sukan selepas menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998.
Bagaimanapun, beberapa pemerhati berpendapat, Malaysia tidak perlu menjadi ‘pak sanggup’ dengan bersetuju menerima tawaran menganjurkan sukan berkenaan berikutan masa persiapan mengadakannya sangat singkat.


































