Dr. Raihan Sharif
DHAKA: Seorang pensyarah kolej perubatan di Sirajgani, Bangladesh digantung tugas selepas didakwa menembak kaki seorang pelajarnya semasa pertengkaran sengit di dalam kelas.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, Dr. Raihan Sharif digantung kerja selama dua hari selepas didakwa melepaskan tembakan sehingga mencederakan penuntutnya di dalam kelas.
Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku pada Isnin lalu ketika Dr. Raihan sedang mengendalikan ujian lisan.
Pada masa itu, jelas laporan, pelajar dikenali sebagai Arafat Amin Tomal, 23, bertengkar dengan Dr. Raihan semasa ujian lisan diadakan.
Dr. Raihan didakwa mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arah Arafat sebelum bertindak menembaknya di lutut kanan.
Peluru itu mengenai telefon bimbit Arafat di dalam poket seluarnya sekali gus menyelamatkannya daripada mengalami kecederaan serius yang mengancam nyawa.
Namun, pelajar itu cedera dan masih menerima rawatan di hospital termasuk terpaksa menjalani pembedahan di bahagian kakinya.
Akhbar Dhaka Tribune melaporkan seramai 45 penuntut berada di dalam kelas berkenaan ketika kejadian.
Ramai pelajar bergegas membantu rakan mereka, selain mengunci pensyarah terbabit di dalam sebuah bilik sehingga polis sampai.
Dr. Raihan ditahan dan polis turut merampas pistol itu bersama pistol kedua, 81 peluru, empat majalah, dua pisau dan 10 pisau belati yang ditemukan di dalam beg pensyarahnya.
Polis menerusi kenyataan mendedahkan Dr. Raihan terkenal kerana membawa senjata api ke kolej itu yang akan ditunjukkan kepada penuntutnya semasa kuliah.
Jelas polis, satu jawatankuasa khas ditugaskan untuk menyiasat keadaan sekitar kejadian itu.
Berita mengenai Dr. Raihan digantung tugas mengejutkan Bangladesh, dengan orang ramai menyuarakan kemarahan mereka terhadap tindakan pensyarah itu.
Minggu lalu, pelajar kolej itu juga mengadakan protes dengan menuntut pensyarah itu dipecat serta-merta dan dikenakan hukuman berat.


































