Joniston melihat keadaan mata air bagi mengatasi masalah ketiadaan bekalan air di Kampung Kelawat, Kiulu.
KIULU: Lebih 200 isi rumah di tujuh buah kampung di sini menghadapi masalah air yang kritikal ekoran kemarau yang berpanjangan.
Kampung-kampung yang dikenal pasti terjejas akibat kekurangan bekalan air adalah Kg. Bungoliu, Kg. Tomis Baru, Kg. Kelawat, Kg Simpangan Lama, Kg. Balabakan, Kg. Tomis Kg. Mangi Pangi dan Kg. Bongol yang bergantung kepada bekalan air graviti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai telah melawat kampung-kampung tersebut hari ini bagi meninjau keadaan semasa.
Semasa lawatan itu, beliau bertemu dengan penduduk kampung bagi mendengar pandangan mereka serta membincangkan langkah-langkah penyelesaian jangka masa pendek dan panjang yang perlu diambil.
“Saya memandang serius keadaan gangguan air berlarutan yang telah mendatangkan kebimbangan di kalangan penduduk kampung.

Joniston (empat dari kanan) menyerahkan tangki air kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Medi Marimbang (kiri) dengan diperhatikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.15 Kiulu (PPM) Golubi Gutarek di Kampung Tomis, Mangi Pangi, Kiulu.
“Antara cadangan penyelesaian sementara yang telah dikenal pasti ialah menyediakan tangki-tangki air untuk menyimpan stok air di setiap kampung yang terjejas.
“Manakala untuk jangka masa panjang, cadangan adalah untuk menggunakan pam air dari sumber air yang lebih berkesan.
Beliau turut menekankan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) telah menghantar laporan mengenai keadaan tersebut kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Tuaran melalui Pejabat Daerah Kecil Kiulu.
“Tindakan segera diperlukan untuk menangani masalah air yang semakin meruncing ini,” kata Joniston.
Joniston juga meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terlibat untuk memberikan laporan mengenai cadangan penyelesaian sementara bagi mengatasi masalah air di kampung masing-masing.
“Langkah-langkah ini diharapkan dapat memberikan bantuan yang diperlukan kepada penduduk kampung yang terjejas.
“Kami akan terus memantau perkembangan mengenai usaha-usaha penyelesaian masalah air ini dan memberikan maklumat terkini kepada penduduk kampung sejurusnya,” kata Joniston.


































