Nik Yusaimi Yussof (kiri) menunjukkan logo Smart Quran yang merupakan satu-satunya aplikasi diperakui KDN di Pejabat KDN Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memantau beberapa aplikasi al-Quran dalam talian yang dibangunkan oleh pembangun aplikasi tempatan yang didapati tidak mendapat perakuan.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, pihaknya mendapati banyak aplikasi al-Quran dibangunkan dan boleh dimuat turun oleh masyarakat ke telefon pintar masing-masing.
Tegasnya, jika aplikasi itu tidak mempunyai perakuan KDN, bermakna ayat-ayat al-Quran yang digunakan tidak melalui proses semakan oleh Lajnah Tashih Al-Quran Malaysia.
“Mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 (Pindaan) 2023, setiap penerbitan al-Quran dalam pelbagai bentuk yang mengandungi satu juzuk ayat atau lebih perlu mendapat perakuan KDN dan melalui semakan pakar terlebih dahulu.
“Apabila tidak melalui semakan, kita bimbang ayat-ayat tersebut mengandungi kesilapan dan kesalahan tulisan, bacaan, bunyi bacaan atau bacaan secara audio,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KDN Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Yusaimi memberitahu, KDN telah mewujudkan Garis Panduan Penerbitan Al-Quran sebagai panduan kepada penyedia aplikasi yang membangunkan aplikasi al-Quran dalam talian.
Menurutnya, garis panduan itu menerangkan bahawa syarikat perlu dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam selain berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Garis panduan berkenaan turut menekankan ayat-ayat dipaparkan perlu menggunakan bahasa Arab dengan kaedah Rasm Uthmani dengan mematuhi Garis Panduan Al-Quran Tajwid berwarna KDN.
“Sekiranya disertakan dengan terjemahan, maka ia hendaklag mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpandukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.
“Selain itu, terdapat larangan penggunaan sebarang kandungan yang mengganggu teks dan bacaan al-Quran seperti iklan yang tidak mematuhi syariah termasuk judi, pornografi atau perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak,” ujarnya.
Nik Yusaimi memberitahu, sehingga kini, hanya Smart Quran yang dibangunkan dengan kerjasama KDN, Jakim dan MCMC merupakan satu-satunya aplikasi al-Quran dalam talian yang diperakui selain terbukti kesahihannya untuk diguna pakai oleh masyarakat Islam di negara ini.
“KDN kini bekerjasama erat dengan MCMC untuk mengawal aplikasi al-Quran dalam talian kerana menyedari ia sudah menjadi gaya hidup masa kini selain terdapat lambakan aplikasi berkenaan termasuk yang dibangunkan oleh pihak di luar negara.
“Kita juga menyedari berlaku penyebaran hadis-hadis palsu, diseleweng dan diubahsuai dalam talian. Orang ramai boleh mengunjungi laman web KDN yang menyediakan garis panduan hadis untuk membuat semakan atau sebarang pertanyaan,” ujarnya.































