KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 325 kes lemas sepanjang tahun lalu, iaitu peningkatan 12 peratus berbanding 290 kes pada tahun sebelumnya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, daripada jumlah itu, kes lemas di sungai atau tali air merupakan yang tertinggi dilaporkan iaitu 185 kes atau 57 peratus.
Beliau berkata, di Terengganu sahaja terdapat 23 kes lemas sejak Januari sehingga Disember 2023 dengan 29 mangsa meninggal dunia manakala 47 berjaya diselamatkan.
Menurutnya, jumlah kes tersebut merisaukan JBPM kerana kawasan rekreasi di air mula menjadi tumpuan pengunjung ekoran cuaca panas di seluruh negara.
“Sehubungan itu JBPM mengambil pendekatan meningkatkan rondaan dan pemantauan di lokasi riadah yang menjadi tumpuan tidak kisah kawasan ‘hotspot’ atau sebaliknya.
“Hal ini kerana tahap kesedaran terhadap risiko kejadian lemas masih kurang memuaskan, jadi amat penting untuk JBPM sentiasa bersama masyarakat khususnya bagi tujuan mendidik.
“Tindakan lebih agresif turut diambil iaitu memperluaskan Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) selain mengadakan kempen keselamatan berkaitan langkah keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Terengganu, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, Malaysia kini dilanda kemarau dan dijangka mengalami musim kering atau kurang menerima hujan pada Monsun Barat Daya bermula Mei sehingga September.
Justeru itu, menurut Nor Hisham, lebih 605 lokasi iaitu tempat terbuka di seluruh negara berisiko berlaku kebakaran antaranya pusat pelupusan sampah haram serta kawasan hutan simpan.
“Sepanjang Januari sehingga Disember tahun lalu juga sebanyak 13,906 kes kebakaran terbuka dilaporkan iaitu kenaikan 45 peratus berbanding 9,596 kes pada tahun sebelumnya.
“Orang ramai dinasihat agar tidak melakukan kebakaran secara ‘bona fide’ atau dengan niat bagi mengelak api merebak dengan cepat dalam cuaca kering dan kemarau,” jelasnya.


































