Gambar hiasan
ROM: Seorang wanita di Itali didakwa memalsukan kira-kira 17 kehamilan sejak 24 tahun lalu bagi membolehkannya mendapat manfaat bersalin yang bernilai 110,000 euro (RM 567,628).
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, Barbara Ioele, 50, diberi cuti bersalin selama bertahun-tahun dan manfaat yang dibayar kerajaan sepanjang tempoh 24 tahun itu.
Berdasarkan dokumen difailkan oleh Ioele, dia mendakwa pernah hamil sebanyak 17 kali, dengan 12 kali mengalami keguguran.
Ioele turut mendakwa melahirkan lima bayi yang sihat bernama Benedetta, Angelica, Abramo, Letizia dan Ismaele.
Bagaimanapun, tiada rekod lima bayi itu didaftarkan, malah tiada sesiapa pernah melihat anak-anak itu.
Ioele didakwa melahirkan anak bongsunya pada Disember tahun lalu, namun kini pihak berkuasa mendakwa wanita itu diawasi sepanjang kehamilannya dan mereka mempunyai bukti bahawa dia tidak pernah hamil.
Malah, mereka juga mendakwa Ioele memalsukan kesemua 17 kehamilannya demi menerima faedah lebih 110,000 euro (RM567,628) dan cuti bersalin dari tempat kerjanya.
Dalam pada itu, pendakwa raya memaklumkan Ioele mencuri sijil lahir dari klinik, dokumen palsu, memalsukan tandatangan doktor, meletakkan bantal pada perutnya dan latih berjalan seperti wanita mengandung.
Bagi mengesahkan semua kehamilannya, Ioele mendaftarkan sijil perubatan yang dicuri dengan tandatangan palsu dan menerima manfaat sekitar 110,000 euro dan cuti bersalin daripada beberapa majikan.
Ioele memalsukan kehamilannya sejak tahun 2000 namun nasibnya berakhir tahun lalu apabila polis mengawasinya dan mengumpul bukti bahawa dia sebenarnya tidak hamil.
Polis juga melancarkan siasatan membabitkan kehamilan Ioele sebelum ini.
Bagi mengelak daripada disoal siasat, Ioele mengeluarkan dua sijil perubatan sah untuk membuktikan keadaan kesihatannya yang lemah.
Namun, dia masih menghadapi hukuman penjara kerana melakukan penipuan kewangan dan identiti.


































