Sebahagian daripada enam pendaki yang sesat di Gunung Angsi lebih enam jam selamat dibawa turun oleh pasukan SAR awal pagi tadi.-Gambar/Ihsan Bomba
KUALA PILAH: Seramai enam pendaki yang dilaporkan dikhuatiri sesat malam tadi di Gunung Angsi telah ditemukan selamat namun salah seorang daripada mereka cedera di bahagian lutut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Zon 3 Negeri Sembilan, Penguasa Bomba (PgB) Yusry Abdullah Sani berkata, kesemua enam pendaki terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki itu ditemukan pada pukul 12.02 tengah malam tadi oleh pasukan keempat mencari dan menyelamat (SAR) di laluan menurun ke Ulu Bendul.
Menurutnya, mangsa berusia lingkungan 28 hingga 31 tahun berasal dari pelbagai negeri antaranya Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor ditemukan dalam keadaan baik dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Terdahulu kami menerima makluman kejadian tersebut daripada pihak polis pada pukul 7.31 malam tadi (semalam). Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti tiba di lokasi kejadian 10 minit selepas aduan diterima dan mendapati terdapat dua buah kenderaan iaitu Perodua Axia dan Perodua Bezza diparkir di kaki gunung berkenaan.
“Dalam SAR ini, selain pasukan bomba, polis, malim gunung, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga turut serta dan dipecahkan beberapa kumpulan berdasarkan jangkaan mangsa akan keluar mengikut tiga laluan lain iaitu di Ulu Bendul, Kampung Jkin dan Taman Tuanku Ja’afar (TTJ) di Seremban,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Yusry lagi, mangsa yang memulakan pendakian di Gunung Angsi pukul 9 pagi selamat dibawa keluar kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi dan operasi ditamatkan 10 minit kemudian.


































