PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia pada Januari 2024 meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM234.73 bilion setelah merekodkan penyusutan tahun ke tahun bagi 10 bulan berturut-turut.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Inudstri (MITI) memaklumkan, eksport meningkat 8.7 peratus kepada RM122.43 bilion dan import naik 18.8 peratus kepada RM112.3 bilion.
Katanya, ia merupakan nilai bulanan tertinggi direkodkan bagi Januari.
“Sementara itu, lebihan dagangan berjumlah RM10.12 bilion dan merupakan lebihan dagangan ke-45 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya dalam kenyataan.
MITI berkata, pertumbuhan eksport disokong oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam.
Katanya, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan pertumbuhan.
Berbanding Disember 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 4.3 peratus, 3.4 peratus, dan 5.3 peratus, manakala lebihan dagangan menyusut 13.8 peratus.
Katanya, pada Januari 2024, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.7 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM103.65 bilion.
Eksport hasil galian (7.9 peratus syer) mengurang sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM9.72 bilion berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG).
“Eksport keluaran pertanian (6.7 peratus syer) mencatatkan peningkatan dua digit 17.5 peratus kepada RM8.24 bilion setelah merekodkan pertumbuhan negatif tahun ke tahun sejak November 2023.
“Kenaikan ini disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Kesemua keluaran pertanian merekodkan pertumbuhan eksport dua digit,” katanya.
Menurut MITI, perdagangan dengan ASEAN (27.6 peratus syer daripada jumlah perdagangan Malaysia), mencatatkan peningkatan dua digit 17.4 peratus tahun ke tahun kepada RM64.87 bilion.
“Eksport naik 9.5 peratus kepada RM37.33 bilion, disokong oleh pertambahan eksport keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia. Import dari ASEAN mengembang 30.2 peratus kepada RM27.54 bilion,” jelasnya.
Sementara itu, perdagangan dengan China (16.9 peratus syer) meningkat sebanyak 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM39.57 bilion dengan eksport mengurang 7.4 peratus kepada RM13.87 bilion, manakala import bertambah 16.7 peratus kepada RM25.7 bilion.
Perdagangan dengan AS pula (9.4 peratus syer), merekodkan peningkatan 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM22.11 bilion. Eksport naik 11.9 peratus kepada RM13.48 bilion, manakala import menokok 29.5 peratus kepada RM8.63 bilion.
Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) pula (7.6 peratus syer), meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun kepada RM17.87 bilion dengan eksport naik 6.4 peratus kepada RM9.95 bilion manakala import bertambah 4.1 peratus kepada RM7.92 bilion.
Sementara itu, perdagangan dengan Jepun (5.9 peratus syer), mengurang sebanyak 1 peratus tahun ke tahun kepada RM13.95 bilion. Eksport meningkat 2.8 peratus kepada RM8.41 bilion, manakala import susut 6.3 peratus kepada RM5.53 bilion.
“Pada Januari 2024, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang menyerap 66.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 11 peratus tahun ke tahun kepada RM156.99 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA mengembang 5.1 peratus kepada RM84.12 bilion dan import naik 18.6 peratus kepada RM72.87 bilion,” jelas MITI.


































