Anwar Ibrahim
BUKIT MERTAJAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan pihak yang sering mempertikaikan usaha kerajaan termasuk dalam membuat penyelarasan kadar tarif elektrik kepada orang kaya dan warga asing.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, penyelarasan itu sebenarnya adalah sebahagian daripada langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memberikan subsidi bersasar.
“Yang naik 15 peratus itu untuk orang terkaya. Yang kita nak jadi jurucakap orang kaya ini pasal apa? Orang kaya kalau naik RM5, RM10 tarif elektrik tak jadi masalah pun.
“Begitu juga dengan warga asing. Berapa banyak warga asing di negara kita? 3.5 juta (orang). Jadi, apabila kita bagi subsidi elektrik, apa maknanya? Maknanya 3.5 juta orang asing ini dapat subsidi daripada kerajaan. Dia tak bayar cukai. Yang bayar cukai itu rakyat.
“Maka, sebab itulah saya nak hentikan subsidi ini kepada orang asing, orang paling kaya. Tapi ‘depa’ (mereka) ‘balun’ (hentam) kita (kerajaan). Orang marah.
“Saya kata ‘hang’ (merujuk kepada wakil rakyat pembangkang) ni wakil apa? Wakil Bangladesh ka wakil Burma (Myanmar) atau wakil Melayu di negara ini? Kalau betul wakil rakyat Malaysia, dia tahu kadar yang kita naikkan itu bukan kepada rakyat, tetapi kepada orang kaya (dan warga asing) sahaja,” katanya pada Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perda, di sini, hari ini.
Anwar dalam kenyataannya sebelum ini berkata, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan pada tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion dan ini termasuk subsidi berkaitan elektrik, minyak dan makanan.
Menurut beliau, meskipun jumlah itu dilihat agak tinggi, namun katanya, mengurangkan subsidi bukanlah satu pilihan untuk dilaksanakan kerajaan kerana langkah itu pastinya akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.


































