Pengemis lelaki yang dikenali sebagai Erik ditahan pegawai Jabatan Sosial Kota Bogor selepas dia dilaporkan sering mengganggu masyarakat setempat.
BOGOR: Video seorang pengemis di Kota Bogor, Jawa Barat yang ditahan sambil membawa wang sebanyak 56 juta rupiah (RM17,106) menjadi tular dalam media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, video itu dikongsi oleh akaun rasmi Jabatan Sosial Kota Bogor pada Jumaat lalu.
Menerusi keterangan yang ditulis, jabatan itu memaklumkan pengemis lelaki itu sering meminta sedekah daripada masyarakat di sejumlah lokasi di Bogor, selain sering mengganggu mereka.
Ketika ditahan oleh pegawai jabatan, pengemis yang merupakan individu kurang kelainan itu didapati membawa sejumlah duit tunai dalam pakaiannya.
Selepas dikira, kesemua duit itu berjumlah 56 juta rupiah dan pengemis itu mengakui, wang tersebut merupakan hasil dia meminta sedekah setiap hari.
Dalam pada itu, pengemis yang dikenali sebagai Erik itu dilaporkan bukan berasal dari Kota Bogor, sebaliknya dari Ciomas.
Siasatan jabatan sosial juga mendapati lelaki itu tinggal di rumah teres dua tingkat bersama adiknya selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.
Mereka juga mempunyai seorang abang, namun tidak tinggal bersama mereka kerana sudah berkahwin.
“Kami hanya tinggal berdua di rumah ini selepas abang berkahwin dan ibu bapa kami meninggal dunia,” kata adik Erik.