Antony diketepikan oleh Brazil dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026.
LONDON: Skuad kebangsaan Brazil menggugurkan pemain sayap Manchester United, Antony daripada dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 selepas dia disiasat polis atas dakwaan menyerang bekas teman wanita.
Gabriela Cavallin mendakwa Antony, 23, memukul dan menumbuknya di bilik hotel Manchester pada Januari, sehari selepas perlawanan menentang Manchester City.
Antony bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mengesahkan dia sudahpun memberi keterangan kepada polis.
“Polis Manchester mengesahkan dakwaan yang dibuat dan siasatan masih diteruskan untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya. Kami tidak akan mengulas lanjut buat masa ini,” kata Polis Greater Manchester dalam satu kenyataan.
Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) kemudian mengumumkan Antony digugurkan dua perlawananan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Bolivia dan Peru.
Gabriela dalam temu bual dengan laman web Brazil, UOL mendedahkan dia dipukul oleh Antony ketika sedang hamil, malah turut berkongsi tangkap layar mesej dari perbualan serta dakwaan di Whatsapp.
Dia mendakwa, pemain berusia 23 tahun itu adalah menyerangnya semasa hamil, merosakkan implan payu daranya, melukainya dan mengancam untuk membuangnya dari kereta yang sedang dipandu laju.