Stuart Ramalingam (kanan) diberi penerangan mengenai penggunaan VAR dalam latihan fasa kedua yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. – Ihsan FAM
PETALING JAYA: Hampir RM10 juta. Itu kos mahal yang perlu ditanggung Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi melaksanakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) sepenuhnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, mereka menjangkakan kos tahun pertama mencecah RM9.7 juta, dan ia tidak termasuk kos-kos lain yang belum dikenal pasti.
Katanya, kos permulaan amat tinggi kerana mereka perlu membeli barangan keperluan seperti kamera, jaringan internet, selain menyediakan infrastruktur lengkap bagi memastikan VAR boleh digunakan tanpa masalah.
Kos tersebut tidak terhenti di situ kerana MFL juga perlu mengeluarkan RM3.2 juta pada tahun berikutnya bagi memastikan teknologi tersebut dapat terus digunakan di venue tertentu.
“Kos keseluruhan bagi tahun 2024 untuk implementasi VAR adalah RM9.7 juta dan itu tidak termasuk kos-kos yang kita tidak dapat kenalpasti lagi.
“Setiap tahun pula perlu mengeluarkan kira-kira RM3.2 juta.
“Pada tahun pertama tinggi kerana perlu membeli barang keperluan termasuk perbelanjaan infrastruktur,” katanya selepas menyaksikan latihan fasa kedua VAR di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Kata Stuart, MFL juga perlu menggunakan trak bergerak ke venue perlawanan bagi menguruskan VAR, dan pendekatan itu menelan belanja sehingga tiga kali ganda berbanding proses biasa.
Begitupun, ia dilihat sebagai langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi halangan seperti kekuatan internet dan penyediaan infrastruktur di stadium.
“Apa yang anda lihat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah, VAR mereka berpusat di studio penyiaran dalam stadium sebab capaian internet mereka tiada kelewatan.
“Jika di Malaysia, apabila ramai penyokong di stadium, capaian internet terganggu dan kelewatan dalam VAR adalah sesuatu yang tidak boleh berlaku.
“Dengan itu, MFL membuat keputusan untuk implementasi VAR di peringkat tempatan dengan menggunakan trak mudah alih yang mana kita sediakan ‘mobile truck’ ke stadium,” katanya.
Kata Stuart, penggunaan VAR memerlukan enam kamera di setiap stadium, dan buat masa ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai empat bilik penyiaran VAR yang juga digunakan di stadium.
Beliau turut menegaskan, penggunaan VAR akan terpakai untuk semua perlawanan dan bukan yang terpilih sahaja apabila mula digunakan nanti.