Mohamed Salah
LONDON: Liverpool kekal dengan pendirian ‘tidak akan menjual dan tidak mahu berunding’ dengan kelab Arab Saudi, Al-Ittihad yang berkeras mahu mendapatkan Mohamed Salah, dedah pakar perpindahan pemain, Fabrizio Romano.
Reds telah melalui proses perubahan semasa jendela musim panas baru-baru ini, dengan memperoleh lebih 50 juta pound (RM295 juta) hasil jualan pemain, dan pengurusnya Jurgen Klopp tidak sabar melepasi tarikh akhir perpindahan yang tamat hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, CBS Sports melaporkan, Al-Ittihad bersedia melancarkan bidaan 129 juta pound (RM761 juta) selepas melihat Salah sebagai keutamaan menjelang jendela perpindahan Liga Pro Saudi yang akan ditutup pada 20 September.
Terdapat juga laporan mendakwa, penyerang Mesir itu yang mencatat 187 gol bersama Liverpool akan mengatasi Neymar sebagai pemain paling mahal dalam sejarah jika Reds menerima tawaran tersebut.
Bagaimanapun, Liverpool menegaskan Salah bukan untuk dijual, malah ejennya Ramy Abbas turut menolak kemungkinan pemain itu berpindah padang latihan dan menjadi bintang Liga Perdana Inggeris yang terbaru ke Arab Saudi.
“Sudah tentu, terdapat banyak yang diperkatakan ketika ini tetapi Liverpool telah menegaskan kedudukan mereka. Pemain itu bukan untuk dijual dan mereka tidak mahu berunding.
“Liverpool terus menyatakan perkara ini secara tertutup, dan memaklumkannya kepada khalayak ramai menerusi Jurgen Klopp. Mereka mahu mengekalkan Mo Salah di kelab.
“Selain itu, sukar untuk menggantikan Mo Salah dalam dua atau tiga hari dalam pasaran perpindahan, jadi itulah pendirian kelab,” kata Romano kepada Givemesport.
Wartawan TalkSPORT, Alex Crook baru-baru ini memberitahu Givemesport Klopp akan berdepan ‘mimpi negri’ jika pemain sayap itu dibenarkan menyertai Al-Ittihad, di mana dia akan bergabung dengan bekas rakan sepasukannya, Fabinho yang berlepas ke Saudi bulan lalu.
Salah kini memasuki dua tahun terakhirnya di Liverpool dengan gaji 350,000 pound (RM2 juta) seminggu dan dia dikhabarkan akan menerima kenaikan gaji mendadak jika berpindah ke kelab Liga Pro Saudi itu.
Al-Ittihad dikatakan sanggup memberinya gaji 1.5 juta pound (RM8.8 juta) seminggu yang akan menjadikannya salah seorang pemain memiliki gaji terbaik di dunia.