Hildah Magaia (kanan) mahu menggunakan imbuhan lumayan yang diterima dalam Piala Dunia Wanita untuk menyara keluarga.
MELBOURNE: Pemain yang mara ke pusingan kalah mati di bola sepak Piala Dunia Wanita menikmati bonus individu lebih besar hingga mampu mengubah hidup kebanyakan daripada mereka.
Menurut Utusan Malaysia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan AS$30,000 (RM137,387) untuk 732 pemain bagi 32 pasukan yang bertanding di kejohanan berkenaan.
Jumlah pembayaran meningkat kepada AS$60,000 (RM274,791) untuk pemain dalam 16 pasukan yang mara ke peringkat kalah mati.
Wang bonus terus meningkat kepada AS$90,000 (RM412,174) untuk pemain yang beraksi di suku akhir dan ia duit penting bagi kebanyakan pemain terutama mereka yang berdepan pertikaian kewangan dengan persekutuan masing-masing mengenai gaji dan sokongan.
Penyerang Afrika Selatan, Hildah Magaia yang membantu skuad Banyana Banyana mara ke peringkat kalah mati bercadang menggunakan wang tersebut untuk menjaga ibunya.
“Saya akan dapat melakukan segala-galanya untuk ibu saya kerana saya yang menjaganya. Saya mencari wang untuk keluarga,” kata Magaia.
Sementara itu, Deneisha Blackwood yang mewakili Jamaica dan telah disingkirkan oleh Colombia dalam aksi pusingan ke-16, menyifatkan pembayaran minimum sebagai permulaan yang baik untuk pasukannya.
Jamaica mengalami masalah kewangan dan bergantung pada crowdfunding untuk mengumpul wang bagi mengharungi kejohanan itu.
“Jelas sekali hadiah wang itu adalah ganjaran yang kami tidak pernah bayangkan. Ramai daripada kami perlukan duit untuk membayar bil harian kehidupan dan menguruskan keluarga.
“Untuk generasi muda yang melihat bola sepak tidak menghasilkan banyak wang tetapi dengan melihat kejayaan dicipta oleh kami maka ia akan menjadi motivasi kepada mereka untuk menjadikan sukan ini sebagai sumber rezeki,” ujarnya
Kesatuan pemain global FIFPRO, tahun lalu menghantar surat kepada FIFA bagi pihak pemain daripada 25 pasukan kebangsaan meminta memberi imbuhan lebih baik di Piala Dunia.
FIFA sebelum ini mengumumkan hadiah keseluruhan bernilai AS$110 juta (RM504 juta) pada Jun lalu.
Bagaimanapun, FIFA tidak dapat memberi jaminan wang itu akan terus dikreditkan dalam akaun pemain.