BRISBANE: Empat anak kapal tentera Australia hilang selepas helikopter yang mereka naiki terhempas dan karam di perairan pantai timur laut negara itu ketika sedang menjalani latihan ketenteraan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Richard Marles memaklumkan, helikopter MRH-90 Taipan terhempas lewat malam Jumaat di perairan subtropika di Pulau Hamilton, Queensland, ketika mengambil bahagian dalam latihan Talisman Sabre yang disertai 30,000 orang.
Polis Australia berkata, serpihan helikopter sudah ditemui dan misi pencarian empat anak kapal masih diteruskan.
“Keluarga empat anak kapal telah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan harapan kami tertumpu kepada anak kapal serta keluarga mereka,”kata Marles.
Latihan Talisman Saber turut disertai tentera dari Jepun, Perancis, Jerman, dan Korea Selatan.
Latihan itu telah memasuki minggu kedua dan sedang menguji logistik berskala besar, pertempuran darat, pendaratan amfibia dan operasi udara.
Australia kini sedang memulakan rombakan besar-besaran angkatan tenteranya, beralih ke arah keupayaan serangan jarak jauh.