Abidin (tengah) memalu gong sebagai simbolik perasmian sambutan Kaamatan Kg. Bahab.
RANAU: Malaysia adalah milik setiap rakyat tanpa mengira etnik, agama, kepercayaan, latar belakang politik dan tradisi mereka, bukan milik hanya satu kumpulan tertentu, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
“Kita tidak boleh sekali-kali mengatakan bahawa Malaysia hanya milik satu kumpulan tertentu, kerana kita semua hidup di negara ini dengan semua perbezaan kita, tetapi kita semua mengenali diri kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian ketika merasmikan acara sambutan Kaamatan Kampung Bahab dan perasmian Persatuan Taekwondo Kg. Bahab di dewan mini kampung itu, di sini, kelmarin.
Memuji jawatankuasa penganjur program yang berjaya walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kekangan semasa merancang majlis itu, beliau berkata, Pesta Kaamatan boleh disambut sepanjang tahun memandangkan penuaian padi tidak lagi dilakukan sekali sahaja dalam setahun pada masa kini.
“Pada masa ini, seperti yang kita tahu, kerja menuai padi dilakukan beberapa kali dalam setahun, dan kawasan yang berbeza menuai dalam bulan yang berbeza. Ini bermakna penuaian padi adalah berterusan.
“Tambahan pula, maksud tema Kaamatan itu sendiri menyentuh hati rakyat Sabah, kerana di sinilah kita dapat menyaksikan erti perpaduan yang sebenar, di mana rakyat yang berbeza latar belakang dapat duduk bersama secara harmoni,” katanya.
Beliau juga menyeru masyarakat di sini supaya memelihara perpaduan kerana Kerajaan hari ini amat mementingkan nilai perpaduan dalam kalangan penduduk walaupun wujud perbezaan kaum, agama dan politik.
“Kerajaan Malaysia Madani yang juga dikenali sebagai ‘Kerajaan Perpaduan’ mengutamakan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang kerana ini adalah kunci utama negara untuk terus maju ke hadapan.
“Pemimpin hari ini melihat betapa pentingnya unsur perpaduan ini kerana masyarakat yang berpecah belah tidak mampu bergerak bersama ke arah kesejahteraan yang diidamkan.
“Justeru saya menyeru rakyat berbilang kaum, kepercayaan agama dan intuisi politik untuk bersatu dalam membina negara yang lebih kukuh dan mengutamakan cita-cita yang sama,” katanya.

Ahli Persatuan Taekwondo Kg. Bahab mengangkat sumpah selepas ia dirasmikan.
Sementara itu, Abidin berkata, kanak-kanak perlu dididik dan didedahkan kepada seni mempertahankan diri seperti Taekwondo bagi melatih mereka menjadi lebih berdisiplin, mematuhi peraturan dan memiliki sifat kepimpinan.
Katanya, ini juga dapat mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan aktiviti sosial yang merosakkan kehidupan masa depan mereka.
Beliau berkata, menerusi aktiviti seni bela diri, generasi muda berpeluang menyertai aktiviti berfaedah berteraskan disiplin diri.
“Ini termasuk keupayaan mengurus diri dan mengatur jadual latihan selain melatih kesabaran dan ketabahan mereka agar mampu menghadapi situasi yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
“Seni mempertahankan diri juga merupakan salah satu cara yang baik untuk bersosial. Melalui aktiviti seperti ini, kanak-kanak berpeluang membina satu sama lain, sambil belajar berkomunikasi dan berinteraksi dalam satu pasukan.
“Ironinya, selain mudah mendapat kawan baharu yang merupakan ahli dari seluruh Malaysia yang mengikuti latihan seni mempertahankan diri bersama-sama, mereka juga dapat berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan seni pertahanan diri,” katanya.
Abidin turut menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam persatuan ini serta kumpulan sukan lain yang berkaitan, kerana ini dapat mengelakkan kanak-kanak daripada terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah.
“Saya harus menekankan bahawa semua pihak perlu mempelajari seni mempertahankan diri. Golongan yang dimaksudkan termasuklah ibu bapa agar sentiasa memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada anak-anak yang cenderung kepada seni mempertahankan diri.
“Seni mempertahankan diri bukan sahaja membantu sekiranya pelajar atau anak-anak mereka terdedah kepada bahaya tetapi juga dapat meyakinkan diri mereka untuk melakukan perkara yang betul seperti menegakkan keadilan.
“Ini adalah nilai yang tidak ternilai untuk dimiliki. Justeru kita perlu dilengkapkan dengan ilmu seni dengan meningkatkan disiplin diri.
“Melalui aktiviti seperti ini, kita dapat memupuk sikap hormat-menghormati antara satu sama lain, justeru lebih sahsiah mulia dapat dibentuk,” katanya.
Abidin turut menderma RM1,000 untuk Persatuan Taekwondo Kg. Bahab sebagai dana permulaan untuk membolehkan mereka memulakan perjalanan ke peringkat yang lebih tinggi dalam sukan Taekwondo.































