Ruddy menyerahkan replika My Lesen kepada salah seorang penerima.
PITAS: Seramai 352 individu daerah ini menerima bantuan lesen memandu B2 menerusi program MyLesen.
Pembantu Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah merangkap Adun N.3 Pitas, Datuk Sri Dr. Ruddy Awah berkata, penyerahan lesen tersebut kepada golongan B40 dan penerima e-Kasih oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diharap dapat meningkatkan sosioekonomi para penerima.
“Pemilikan Lesen ini akan memberi manfaat kepada masyarakat di Daerah Pitas bagi memudahkan pergerakan menguruskan aktiviti-aktiviti seharian mahupun kecemasan sama ada dalam daerah sehingga keluar daerah tanpa rasa takut.
“Selain itu, pemberian lesen tersebut dapat meningkatkan ekonomi setempat seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah dengan membuka peluang pekerjaan seperti menjadi penghantar makanan Foodpanda, Grabfood dan sebagainya.
“Saya berharap penerima dapat mengurus dan menggunakan lesen tersebut dengan sebaiknya, jangan lupa perbaharui sekiranya tamat tempoh bagi memudahkan segala urusan, “ujarnya ketika ditemui media dalam Program MyLesen Daerah Pitas di Dataran Bengkoka pada Sabtu.
Untuk rekod, Pitas merupakan daerah kedua selepas Tawau mengadakan program sebegini bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dari kawasan luar bandar mendapatkan lesen memandu selain meningkatkan kesedaran terhadap pematuhan peraturan jalan raya seterusnya membudayakan keselamatan jalan raya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Malaysia, Ibrahim Mohd Yusof; Pengarah JPJ Sabah, Mohd Harris Ali dan Pegawai Daerah Pitas, Nahalan Mehdunah.































