Dr. Zaliha Mustafa
MACHANG: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti semula isu kekurangan petugas termasuk doktor dan jururawat di hospital atau klinik kerajaan di seluruh negara.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau mengakui masalah kekurangan petugas KKM berlaku secara keseluruhan dan bukan hanya melibatkan hospital tertentu sahaja.
Menurutnya, keperluan penempatan petugas juga akan dikenal pasti bagi mengelakkan daripada berlaku lebihan petugas di sesebuah hospital atau klinik kerajaan.
“Kita mengenal pasti ada masalah kekurangan petugas. KKM sendiri sedang meneliti dan sudah membuat ‘mapping’ (pemetaan) mengenai keperluan-keperluan doktor di setiap hospital.
“Jadi, kita memang mengambil berat mengenai isu tersebut dan akan mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Mata Ayer di sini kelmarin.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa isu tersebut merupakan antara masalah legasi yang mahu diselesaikan dalam tempoh pentadbirannya, selain kesesakan di pintu sempadan negara dan juga kerosakan jalan seluruh negeri.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status bagi Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang berstatus kontrak, Dr. Zaliha berkata, pihaknya akan melanjutkan tempoh kontrak selama setahun lagi kepada mereka yang terlibat.
Katanya, petugas yang berstatus kontrak itu akan diserap ke jawatan tetap sekiranya terdapat kekosongan.































