Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendekatan yang penuh ‘khidmah” hanya boleh dilakukan oleh orang yang berilmu terutama apabila bercakap tentang agama.
Menurut Utusan Malaysia, Anwar berkata, pendekatan orang yang penuh ilmu ini akan dapat dibezakan dengan individu yang tidak mempunyai pengetahuan dan hanya menggunakan agama untuk kepentingan.
Beliau menyifatkan pendekatan yang digunakan Mufti Agung Mesir, Syeikh Profesor Dr Ali Juma’ah Al Azhari dan Pengasas serta Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Muhammad Salim Ben Hafidz adalah antara ilmuan yang menggunakan pendekatan dengan penerapan ilmu.
“Semalam, kita ada dua ilmuan besar dunia, dengan ilmu mereka pendekatannya lebih khidmah dan bijak. Agama diterapkan melalui ilmu, kasih sayang, toleransi serta hormat-menghormati.
“Tetapi, bagi yang dangkal ilmu, pengetahuannya sejengkal. Ia disebarkan dengan memupuk kebencian, menghina dan mencerca orang atas nama agama kerana kefahamannya cetek,” katanya semasa berucap di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Terdahulu, media melaporkan, lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu Madani bersama Perdana Menteri di Masjid Putra malam kelmarin yang turut dihadiri dua tokoh agama dunia tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyifatkan penganjuran PBAKL 2023 adalah yang paling berjaya dalam sejarah penganjurannya dan Malaysia kerana dihadiri dengan ramai golongan belia.
“Jika tanya saya nak salute (tabik hormat) pada siapa? Saya nak pada anak-anak muda yang berkunjung.
“Ambil kesempatan (pesta buku), kaji penerbitan yang ada dan semua bidang. Baru menjadi manusia unggul yang punya inti kefahaman luas,” katanya.