Harry Kane
LONDON: Tottenham dilaporkan telah menawarkan Harry Kane kepada Real Madrid bagi menggagalkan perpindahan kapten England itu ke Manchester United.
Kane, 29, mempunyai baki setahun kontrak dan dijangka meninggalkan White Hart Lane pada musim panas ini.
Selain Real, United juga antara kelab yang memburu tanda tangannya pada musim panas ini.
Akhbar Mundo Deportivo melaporkan, Tottenham mengelak menjual bintang itu musuh domestik, malah sedang aktif mendapatkan Real bagi melepaskan Kane ke sana.
Menurut Utusan Malaysia, akhbar Sepanyol itu juga mendakwa, Real mempertimbangkan cadangan tersebut secara serius kerana mereka berminat untuk menggandingkannya dengan bintang Perancis, Karim Benzema.
Los Blancos tewas dalam perebutan kejuaraan La Liga kepada Barcelona, selain dibelasah 4-1 oleh Manchester City di suku akhir kedua Liga Juara-Juara pada musim yang mengejutkan.
Kane sebelum ini pernah dikaitkan dengan Real, namun setia bersama kelab yang disertai dari akademi remaja Spurs pada 2014.
Walaupun gagal memenangi sebarang trofi utama bersama Tottenham, dia berjaya membuktikan dirinya sebagai antara penyerang terbaik dunia.
Pada masa sama, Spurs juga bakal mendapat manfaat daripada perpindahan Kane ke Santiago Bernabeu kerana dia akan ditukarkan dengan bintang Belgium, Eden Hazard.
Hazard, bekas perancang utama Chelsea pernah menyinari Liga Perdana Inggeris, namun mengalami mimpi ngeri di Real sejak berpindah ke sana pada 2019.