Joniston menyerahkan kunci rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada Yanim Linggou (ketiga dari kiri) Kampung Balabakan Kiulu dan Diana Sabin (ketiga dari kanan) Kampung Taginambur.
TUARAN: Perancangan sedang dijalankan untuk menbuka sebuah Pusat Maklumat Pelancongan di Pekan Nabalu bagi memanfaatkan lokasinya yang strategik dan penyertaan penuh penduduk kampung dalam pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) di kampung sekitar.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, dengan adanya Pusat Maklumat Pelancongan Pekan Nabalu akan membantu mempromosi dan meningkatkan pengalaman pelancongan secara keseluruhan untuk pengunjung.
“Kementerian mengiktiraf kepentingan Pekan Nabalu sebagai lokasi strategik dan percaya pusat ini akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan infrastruktur dan penawaran pelancongan di kawasan itu.
“Lebih-lebih lagi, CoBT telah mendapat momentum dengan penglibatan aktif penduduk kampung setempat. Pusat pelancongan boleh mengukuhkan lagi penglibatan ini, menyediakan maklumat dan perkhidmatan berharga kepada pelancong yang merancang untuk meneroka keajaiban alam semula jadi, peluang pengembaraan dan budaya di kawasan itu,” katanya.
Joniston berkata demikian pada majlis pelancaran Dewan Muhibbah Kampung Taginambur yang bernilai RM250,000 sempena sambutan Kaamatan PDM Taginambur, di sini, hari ini.
Pekan Nabalu yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, terletak di tengah-tengah masyarakat orang asal KadazanDusun.
Ia merupakan tempat persinggahan yang popular untuk pelancong ke Taman Kinabalu dan titik permulaan yang ideal untuk pengunjung menerokai tarikan dan aktiviti pelancongan eko, budaya dan pertanian di kawasan itu.
Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan ADUN Kiulu berkata, inisiatif pusat pelancongan itu sejajar dengan rancangan untuk menganjurkan Pesta Nanas dan Buah-buahan di Pekan Nabalu dan visi mempromosikan pelancongan luar bandar, khususnya di kawasan Kiulu dan Kadamaian.
“Pusat pelancongan itu akan memudahkan akses ke tapak berasaskan alam semula jadi, ladang dan agropelancongan, menawarkan pengunjung peluang unik untuk mempelajari amalan pertanian tempatan, mengambil bahagian dalam memetik buah-buahan, dan mencuba hasil segar,” katanya.
Pada majlis itu, Joniston menyerahkan kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada dua penduduk kampung, Yanim Linggou dari Kampung Balabakan Kiulu dan Diana Sabin dari Kampung Taginambur.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kiulu, Justin Ginduk dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kiulu, Golubi Guntarek.