Mohammad Agus Yusoff (dua, kiri) menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada pelajar asnaf pada Jelajah Ikon Madani di UMT, Kuala Nerus, Terengganu, kelmarin.
KUALA NERUS: Perdana Menteri berhak mengumumkan sebarang projek atau peruntukan di negeri-negeri yang dilawati, walaupun negeri itu ditadbir parti pembangkang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, pengumuman projek atau peruntukan itu adalah dibuat selepas mendapat kelulusan bajet.
Beliau menegaskan, tidak wujud unsur rasuah oleh Kerajaan Perpaduan yang mahu memastikan peningkatan ekonomi dan taraf hidup rakyat di setiap negeri dapat dilaksanakan.
“Jika pengumuman projek itu bertujuan menambah baik infrastruktur, menjana ekonomi dan memenuhi keperluan rakyat, itu bukan rasuah sebaliknya itu adalah tanggungjawab kerajaan.
“Perdana Menteri menunjukkan sikap Madani apabila bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat,” katanya selepas merasmikan Jelajah Ikon Madani Peringkat Negeri di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, kelmarin.
Lebih 2,000 pelajar dari beberapa universiti di negeri ini menyertai program berkenaan yang dianjurkan dengan dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dan dihoskan, Ikon Madani, Datuk Aznil Nawawi.
Beliau berkata, program jelajah itu adalah yang ketiga selepas Kelantan dan Negeri Sembilan dalam usaha J-Kom mendekati golongan belia bagi menerangkan konsep pentadbiran Malaysia Madani.
Menurut Mohammad Agus, pihaknya akan terus menjalankan fungsi mengubah persepsi sebilangan masyarakat tentang dasar-dasar Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Mohammad Agus, pihaknya akan terus menjalankan fungsi mengubah persepsi sebilangan masyarakat tentang dasar-dasar Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.































