Ramai warga asing membina vila secara haram di Bali menggunakan nama penduduk tempatan.
DENPASAR: Pihak berkuasa Bali mendedahkan golongan pelabur asing atau pelancong luar yang masuk ke pusat peranginan ini sering menggunakan nama penduduk tempatan untuk membina vila mewah secara haram.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Bali, Putu Jayan Danu Putra berkata, aktiviti meminjam nama penduduk tempatan itu berlaku ekoran pemilikan tanah yang terhad oleh orang asing di Indonesia.
“Berdasarkan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan, hanya rakyat Indonesia yang mempunyai hak pemilikan tanah di negara ini.
“Golongan pelabur asing ini sering menggunakan nama penduduk tempatan untuk membina rumah atau vila mewah secara haram, terutamanya di Bali memandangkan pulau ini sering menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia,” katanya.
Jelas Jayan Danu, kes tersebut tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak termaktub dalam perundangan negara.
“Disebabkan golongan ini tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang, agak sukar untuk pihak berkuasa menilai berapa jumlah sebenar vila milik warga asing di Bali.
“Lebih teruk, ada warga asing menyewakan vila mereka kepada pelancong asing yang lain sedangkan mereka membangunkan hartanah secara haram,” ujar Jayan Danu.
Sementara itu, Gabenor Bali, Wayan Koster menyatakan, ada seorang warga asing membina vila seluas 30 hektar di kawasan tepi pantai di Buleleng.
Katanya, jumlah vila mewah semakin banyak di kawasan sekitar Bali dan sehubungan itu, pemantauan rapi akan dilakukan bagi mengenal pasti hak pemilikan hartanah di pusat peranginan ini.































