KOTA KINABALU: Perkhidmatan kesihatan di Sabah masih lagi berada di takuk lama berdasarkan kepada kemudahan fasiliti dan pakar perubatan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ur. Shahelmey Yahya berkata, terdapat 112 buah klinik kesihatan yang sedang beroperasi, namun 95 buah daripadanya atau 84.8 peratus adalah dalam keadaan usang dan daif.
“Lebih menyedihkan keadaan sehingga kini masih terdapat banyak klinik yang tiada kemudahan internet yang menyukarkan mereka berfungsi secara efisien,” katanya ketika membahas untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ke-15 di Kuala Lumpur malam tadi.

Shahelmey Yahya
Menurut Shahelmey, sebanyak 70 peratus peralatan di hospital Sabah adalah berusia lebih 10 tahun atau ‘beyond economic repair’.
“Jangka hayat mesin perubatan hendaklah tidak melebihi 10 tahun seiring dengan kemajuan teknologi perubatan. Malangnya peralatan perubatan ‘uzur’ ini masih lagi digunakan di Sabah.
“Kekurangan ini ditambah dengan kekurangan sumber manusia perkhidmatan kesihatan di Sabah. Terdapat lompang kekosongan perjawatan kira-kira 8.82 peratus iaitu 2,494 daripada 28,274 sumber tenaga yang sepatutnya diisi. Pada tahun 2022, sasaran anggaran negara bagi nisbah doktor kepada penduduk adalah 1:425. Tetapi bagi kami di Sabah pada tahun 2022 adalah bernisbah 1:872,” jelasnya.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyeru agar klinik kesihatan yang telah usang dan daif dinaik taraf.
Selain itu, beliau mencadangkan hospital-hospital di Sabah dinaik taraf melalui penambahan jumlah doktor pakar, bilangan hospital berstatus negeri, hospital berpakar major, hospital pakar minor untuk hospital- hospital yang bersuaian di bandar-bandar dan daerah- daerah di sekitar Sabah.
“Saya juga mencadangkan agar diwujudkan Pusat Rawatan Onkologi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah dan Hospital Queen Elizabeth II sebagai Pusat Rawatan Kardiologi, Neurologi dan Vascular,” katanya.
Pengagihan peruntukan kewangan juga perlu adil dan berformula mengikut jumlah fasiliti kesihatan di Sabah, katanya, sambil menambah gred perjawatan juga perlu dinaik taraf untuk semua peringkat iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, hospital, pejabat kesihatan kawasan dan daerah.





























