Wanita tersebut dilaporkan hilang ketika mencari lokan di sini empat hari lalu. – Ihsan Bomba
TUARAN: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang ketika mencari lokan di sini baru-baru ini telah ditemukan mati oleh pasukan pencari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abd Qawie Abdul Gapar berkata, mangsa akhirnya ditemukan setelah tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“SAR hari ketiga iaitu kelmarin dimulakan pada jam 9 pagi di sekitar kawasan terakhir mangsa dilihat dan di kawasan paya bakau dibantu oleh unit anjing pengesan K9.
“Mangsa warga emas Jinteh Sudin, 76, ditemukan di lokasi 600 meter dari pos kawalan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.10 malam tadi,” katanya.





























