Christina (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima APC dari STB sambil diperhatikan oleh Noredah (kiri) dan Joniston (kanan).
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengadakan lawatan kerja ke Jilin, China bagi memperkasakan kerjasama pelancongan dan pelaburan dengan negara berkenaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Christina berkata, menerusi lawatan tersebut perbincangan secara khusus dapat dilaksanakan mengenai pembukaan laluan penerbangan baharu di antara Bandaraya Kota Kinabalu dan Bandar Jilin untuk mengenalpasti “Cross Promotion” di antara dua bandar (MM2H).
“Selain itu, ini merupakan persediaan bagi satu perjanjian persefahaman (MoU) Tourism, Infrastructure, Agriculture, Education dan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) yang akan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri bagi mengembangkan lagi sektor pelancongan di Sabah.
“Merujuk Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), kemasukan pelancongan antarabangsa akan mencecah 80% hingga 95% daripada pra pandemik pada tahun ini dan ia bergantung kepada keadaan ekonomi serta pergerakan pelancong di Asia Pacific dan pergolakan di antara Russia dan Ukraine.
“Sabah telah menerima lebih 1.5 juta pengunjung setakat bulan November 2022 dan jumlah tersebut melebihi 1 juta sasaran pengunjung.
“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen dan kesungguhan daripada Sabah Tourism Board (STB) dalam melaksanakan Strategic Tourism dan (Promotion Marketing Plan Post-Pandemic),” katanya semasa menyampaikan amanat pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), KePKAS Tahun 2022 yang diadakan di sini, pada Jumaat.
Pada majlis berkenaan, Christina menyampaikan APC kepada 42 penerima yang terdiri daripada enam agensi KePKAS iaitu Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Muzium Sabah, Taman-Taman Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, STB dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Turut hadir, Pembantu Menteri KePKAS, Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Vitalis Moduying dan Pengurus Besar Sabah Tourism Board (STB), Noredah Othman.





























