James disambut ketika tiba di Dewan Kraftangan Keningau
KENINGAU: Usaha yang konsisten dan berterusan perlu bagi memastikan rakyat terlindung dari keganasan domestik termasuk rumahtangga, jelas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, James Ratib.
“Keganasan rumahtangga merupakan jenayah yang tidak asing lagi di Malaysia, yang mana sebahagian besar dari mangsanya adalah terdiri dari kalangan wanita.
“Saya memandang serius akan situasi ini dan mahukan supaya wanita Sabah yang teraniaya mendapat khidmat sokongan dan pembelaan sewajarnya.
“Justeru, pihak kementerian sentiasa komited dalam memastikan khidmat sokongan dan perlindungan kepada mangsa keganasan yang meliputi sesi kaunseling mahupun bantuan guaman wanita secara percuma,” kata beliau.
Selain itu, ujar James, penglibatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diharapkan agar sentiasa membantu dalam usaha merealisasikan misi kearah ‘Sifar Keganasan’.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Outreach Santuni Wanita; Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA)
Penganjuran program yang diadakan di Dewan Pusat Kraftangan Keningau tersebut melibatkan tiga DUN iaitu N39 Tambunan, N40 Bingkor dan N41 Liawan.
Dalam program itu, sesi ceramah melibatkan isu kekeluargaan dari aspek perundanga serta penguatkuasaan telahpun dilaksanakan dengan jayanya.
“Tahniah dan syabas para panel, moderator serta urus setia kerana berjaya menrealisasikan program sebegini di mana ia merupakan program ilmiah yang bermanfaat.
“Ini sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri yang mahukan rakyatnya sejahtera serta bebas dari sebarang keganasan dan penganiayaan terhadap golongan yang lemah terutama wanita dan kanak-kanak,” kata beliau.
Bercakap berkenaan khidmat sokongan dan perlindungan kepada mangsa keganasan, katanya, JHEWA akan bergerak mengadakan beberapa program kesedaran pada tahun ini di hampir seluruh Sabah, seperti program Outreach Santuni Wanita.
“Selepas ini pihak JHEWA akan datang lagi mengadakan program yang sama bagi Dun N44 Tulid, N 45 Sook dan N46 Nabawan dalam perancangan sekitar bulan Julai 2023.
“Bukan itu saja, satu program pembangunan ibu tunggal dan wanita B40 turut dirancang diadakan di daerah Keningau sekitar bulan Mei 2023.
“Program ini nanti akan lebih menumpukan usaha dalam memperkasakan ekonomi serta isi rumah para ibu tunggal serta golongan rentan (B40) yang hadir pada program berkanaan,” kata beliau.
Beliau turut menyeru kepada mereka yang hadir dalam program itu untuk menghebahkan maklumat tersebut kawasan masing-masing kerana perkara itu perlu di kongsi untuk kebaikan masyarakat setempat.
Sementara itu, James berkata, pihak Kerajaan Negeri melalui JHEWA sentiasa berganding bahu bersama jabatan mahupun agensi dan pemimpin di peringakt daerah, kawasan atau yang berkaitan dalam usaha memartabatkan golongan wanita.
Beliau yang juga Adun Sugut, memuji dedikasi JHEWA, kerana begitu komited dalam usaha memartabatkan kesejahteraan wanita di negeri ini.
“Begitu juga kepada yang hadir pada hari ini. Kesungguhan anda berada di sini melambangkan solidariti dalam usaha kita memperkasakan masyarakat di Sabah khususnya wanita serta golongan yang memerlukan.
“Kehadiran Pegawai PPM dari tiga DUN di sini menunjukkan komitmen semua pihak dalam usaha memperkasakan wanita serta golongan yang memerlukan khidmat bantuan dari JHEWA serta agensi berkaitan.
“Terima kasih kepada pihak Majlis Daerah Keningau kerana hadir menyokong Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat melalui JHEWA dalam persiapan mengadakan program pada hari ini,” kata beliau.
James berharap agar usaha murni kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, JHEWA serta semua jabatan yang berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak terutamanya wanita dan keseluruhan masyarakat secara amnya.





























