Abidin (tengah) menerima cenderamata daripada Sam.
KOTA KINABALU: Kerjasama di Lembangan Konservasi Lembangan Maliau (MBCA) dilanjutkan untuk tempoh lima tahun lagi.
Kerjasama itu meliputi bidang penyelidikan lapangan, hab latihan dan pemupukan minat para komuniti berkenaan melibatkan Kumpulan Yayasan Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Maliau (MBMC) dan Rangkaian Penyelidikan Hutan Hujan Nordik (NRRN).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, pelanjutan tersebut tertumpu kepada MBCA dan kawasan sekitar di bawah bidang kuasa MBMC selepas semua pihak bersetuju meneruskan kerjasama sebelumnya yang berakhir pada 11 Jun 2020.
“Perjanjian persefahaman ini merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan demi melindungi dan memelihara hutan hujan Sabah yang amat berharga.
“Menerusi kerjasama ini, kita dapat menjalankan penyelidikan mendalami biodiversiti unik hutan hujan di samping membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan demi perlindungan.
“Kita akan memanfaat kepakaran saintis dan penyelidik terkemuka untuk memahami ciri unik hutan hujan kita di samping membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman Kerjasama MBCA di sini, pada Jumaat.
Kumpulan Yayasan Sabah diwakili Timbalan Pengarah, Datuk Sam Manan dan Pengurus Kumpulan, Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar, Dr. Waidi Sinun manakala MBMC diwakili Pengerusinya, Datuk Frederick Kugan dan Setiausaha Tatap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Sr. Mohd Yusrie Abdullah.
Dalam pada itu, Pengerusi NRRN, Prof. Ida Theilade bersama Setiausaha NRRN, Dr. Ulrick Ilstedt pula menandatangani perjanjian berkenaan mewakili NRRN.
Perjanjian lanjutan tersebut dijangka dapat menarik minat lebih ramai komuniti penyelidik Nordik untuk menjalankan penyelidikan di Lembangan Maliau.





























