Suasana semasa Majlis Networking Lunch with Sabah Sports Journalist.
KOTA KINABALU : Sebanyak 20 pasukan akan berentap dalam Kejohanan Bola Jaring Piala Remaja (KBJPR) 2023 yang akan berlangsung pada 25 sehingga 26 Februari ini.
Presiden Sabah Netball Association (SABANA), Cendramata Sinteh berkata KBJPR merupakan kejohanan julung kali anjuran SABANA bertujuan untuk membangun, menggalak, mempromosi dan mencungkil bakat baharu sukan bola jaring di negeri ini.
“Kejohanan akan disertai pasukan bola jaring dari beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Papar, Tawau, Lahad Datu, Tambunan dan Nabawan serta Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan remaja perempuan warganegara Malaysia berumur lingkungan 13 hingga 21 tahun.
“Johan akan merangkul wang tunai RM1,500 beserta piala pusingan, piala iringan, pingat dan e-Sijil manakala naib johan bakal membawa pulang RM1,000 berserta piala, pingat dan e-Sijil sementara tempat ketiga akan menerima wang tunai RM750, pingat dan e-Sijil ,” katanya kepada media pada Majlis Networking Lunch with Sabah Sports Journalist di sini, pada Jumaat.
Tambah Cendramata lagi, kejohanan yang akan diadakan di Kompleks Sukan Tun Adnan, Yayasan Sabah tersebut juga menawarkan Anugerah Khas Pemain Terbaik, Pertahanan Terbaik, Penyerang Terbaik, Penjaring Terbanyak dan Pasukan Fair Play.
“Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) dijangka hadir merasmikan kejohanan tersebut.
“Semoga dengan usaha berterusan ini dapat melahirkan generasi pelapis pemain bola jaring negeri dan kebangsaan serta memajukan lagi sukan bola jaring di Sabah,” katanya lagi.





























