Sebuah daripada pondok rekreasi dekat Kg. Kigiok.
RANAU: Dalam usaha mengindahkan dan menceriakan kampung mereka, lebih kurang 500 orang penduduk dari 80 isi rumah di Kampung Kigiok di sini membuat inisiatif bagi menyiapkan tiga buah pondok rekreasi baru-baru ini.
Tiga pondok rekreasi yang masing-masing dinamakan Pondok Anggerik, Bersatu dan Cempaka itu dibina menerusi kerjasama sukarela bergotong-royong di kalangan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg Kigiok, Jasni Litah berkata, inisiatif itu dijalankan berlandaskan moto ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ dan ‘sepakat membawa berkat’.
Berdasarkan kesepakatan itu, beliau berkata, penduduk berhasrat mewujudkan Pondok Rekreasi yang difikirkan mampu mewujudkan keceriaan kampung selain menjadi sumber pendapatan penduduk yang akan menyediakan pelbagai produk kepada pelancong pada masa hadapan.

“Sebenarnya, kos pembinaan sebahagian daripada pembinaan pondok rekreasi ini disumbangkan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin dan pengusaha Pelancongan Kigiok Ranau Rabbit Farm, Wong Ko Siong.
“Penduduk berterima kasih atas bantuan Datuk Jonathan, Wong dan sumbangan tenaga penduduk Kg. Kigiok,” jelas Jasni.
Beliau juga merayu para dermawan membantu penduduk dengan menghulurkan sumbangan termasuk seperti simen, batu, pasir dan dawai untuk membaiki sistem perparitan berhampiran pondok rekreasi yang dibina itu.
Kg. Kigiok terletak berhampiran Pusat Bombon Marakau, Pusat Rusa Kinapulidan, Pusat Lebah Madu Kg. Kinapulidan, Ranau Rabbit Farm dan Mount Kinabalu Sky Bike Kigiok.































