Hajiji mesra bersama kanak-kanak yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN N.6 Bandau Bersama Pejabat Daerah Kota Marudu di Astaka Dataran Kota Marudu hari ini.
KOTA MARUDU: Kerjasama erat antara pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat mampu mengukuhkan kedudukan gabungan itu bagi memastikan Parlimen Kota Marudu diwakili wakil rakyat kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan tahun depan.
Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, berdasarkan kedudukan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tandek, Matunggong dan Bandau yang kini dikuasai wakil serta penyokong GRS.
Pengerusi GRS itu berkata, walaupun DUN Bandau diwakili wakil rakyat Bebas, Datuk Maijol Mahap, beliau tetap menyokong kepimpinan Kerajaan GRS selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada akhir November tahun lalu.
“Saya yakin terhadap gabungan kerjasama wakil rakyat kita di sini, semuanya GRS. Malah Datuk Maijol, walaupun beliau wakil rakyat bebas, tetapi beliau ‘GRS’ juga, dan saya yakin kita akan menang di Kota Marudu pada pilihan raya Parlimen akan datang.
“Kita akan pastikan Kota Marudu diwakili parti kerajaan pada PRU akan datang. Berikutan itu, saya minta agar rakyat jangan terpengaruh dengan retorik dimainkan pemimpin pembangkang kerana mereka tidak dapat berbuat apa-apa.
“Sekarang adalah kerajaan GRS, kita ada lima tahun lagi, jadi rakyat perlu berfikir dengan baik dan menyokong parti yang memerintah. Kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang lima tahun lalu melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kini diteruskan ke fasa 2.0,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ADUN Bandau dan Pejabat Daerah Kota Marudu di Astaka Dataran Kota Marudu, di sini, hari ini.
Hadir sama ADUN Bandau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap.

Hajiji berkata, tumpuan utama kerajaan pimpinannya ketika ini adalah menyelesaikan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang diyakini dapat ditangani dalam tempoh satu hingga dua tahun dari sekarang.
“Dalam mesyuarat Kabinet, isu ini diberi keutamaan untuk diselesaikan dan kita yakin dalam tempoh satu hingga dua tahun ini banyak masalah akan dapat diatasi menggunakan peruntukan yang ada.
“Malah, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai lebih RM4 bilion kepada Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan.
“Dulu Kerajaan Pusat yang melaksanakannya, tetapi kini mereka yakin dengan keupayaan Kerajaan Negeri, lalu menurunkan kuasa kepada Ketua Menteri. Jadi, projek BALB ini akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri mulai tahun ini,” katanya.
Sementara itu, beliau mengulangi komitmen Kerajaan pimpinannya untuk terus membantu rakyat, khususnya golongan miskin dan memerlukan, di samping memacu pembangunan negeri.
“Masih banyak yang perlu dilaksanakan, terutama dalam memastikan rakyat yang susah dan memerlukan bantuan terus disantuni.
“Kerajaan GRS akan mengambil apa juga usaha untuk melaksanakan perkara ini. Untuk makluman, pada tahun ini sahaja, kerajaan telah bersetuju menyalurkan bantuan kepada 140,000 rakyat dalam kategori miskin dan miskin tegar.

“Ribuan rakyat di Kota Marudu turut mendapat manfaat daripada bantuan ini. Inilah usaha kerajaan GRS yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. Kita peduli dan prihatin terhadap rakyat di bawah.
“Kita merancang ekonomi untuk menjana pertumbuhan negeri, namun kita tidak melupakan tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan. Itulah antara perjuangan kerajaan yang ditunjangi GRS,” katanya.
Pada majlis itu, Ketua Menteri turut mengumumkan kelulusan dua projek pembangunan untuk manfaat rakyat, khususnya di DUN Bandau, masing-masing dengan peruntukan RM500,000.
Projek berkenaan ialah pembinaan masjid baharu di Kampung Tambun serta pembinaan Jambatan Dasar di Kampung Lamparda.
































