SANDAKAN: Amalan kunjung-mengunjungi terus diperkasa sebagai satu tradisi yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Suasana perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri memberikan ruang terbaik untuk masyarakat saling ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, serta memperkukuh hubungan kekeluargaan dan persahabatan tanpa mengira latar belakang.
Budaya rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi ini bukan sahaja mencerminkan nilai murni masyarakat, malah menjadi asas penting kepada keharmonian dan kestabilan sosial di Sabah.
Suasana tersebut jelas diraikan ketika kunjungan ke rumah Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Labuk, Aneh Jambri di Grand Villa, di sini, kelmarin.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri; Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda; Naib Ketua Wanita, Datuk Aziah Atoh; serta beberapa ketua wanita dari kawasan berhampiran.
































