PENAMPANG: Produk pelancongan komuniti Sarayo di Kampung Tampasak menjadi tarikan baharu pelancongan di daerah ini, sekali gus memperkukuh potensi sektor pelancongan berasaskan komuniti dan alam semula jadi di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif pembangunan Taman Rekreasi Sopuk dan Pelancongan Sarayo merupakan usaha murni komuniti setempat dalam menjana ekonomi melalui keunikan persekitaran kampung.
“Produk pelancongan komuniti ini merupakan antara tarikan terbaharu di Penampang dan memerlukan usaha berterusan serta sokongan daripada pelbagai pihak bagi memastikan kelangsungannya.
“Saya mengucapkan tahniah kepada komuniti kampung yang telah bersatu hati membangunkan taman rekreasi ini serta berusaha menjana pendapatan melalui produk berasaskan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Taman Rekreasi Sopuk dan Pelancongan Sarayo di Kampung Tampasak, yang diusahakan bersama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Koperasi Tampasak Penampang Berhad (KoTaPB).
Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif tersebut, Ewon turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi menyokong aktiviti keusahawanan koperasi berkenaan, selain RM100,000 lagi untuk pembinaan jalan baharu ke kawasan perumahan di kampung itu.
Taman Rekreasi Sopuk dan Pelancongan Sarayo menawarkan pengalaman santai berkonsepkan alam semula jadi, dikelilingi kehijauan hutan serta sungai yang jernih.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk pengangkutan ke jeti untuk menyusuri kawasan sungai serta penginapan ala desa melalui konsep “sulap stay”.
Koperasi Tampasak Penampang Berhad yang ditubuhkan beberapa tahun lalu merupakan koperasi komuniti yang memainkan peranan penting dalam membangunkan destinasi pelancongan berasaskan sungai dan rekreasi di kampung tersebut.
Destinasi ini sesuai untuk kunjungan keluarga, rakan-rakan mahupun organisasi yang ingin menikmati ketenangan suasana kampung serta keindahan alam semula jadi, selain mudah diakses melalui jalan raya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, Awang Ruslli Mohammad.
































