Anggota bomba memasang penghadang berhampiran jambatan runtuh itu.
RANAU: Sebuah jambatan konkrit di Kampung Mohimboyon di sini runtuh sehingga tidak boleh dilalui akibat dipukul arus deras berikutan hujan lebat secara tiba-tiba petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang. Kampung tersebut terletak kira-kira 13 kilometer dari BBP.
Beliau berkata, anggota bomba hadir di tempat kejadian bagi memantau keadaan dan memasang penghadang bagi memastikan keselamatan pemandu dan orang ramai.
“Kami menerima panggilan daripada orang ramai yang melaporkan kejadian membabitkan jambatan jalan utama penduduk di Kampung Mohimboyon yang runtuh akibat air sungai yang deras.

Pihak berkuasa memantau keadaan di sekitar jambatan yang runtuh itu.
“Pihak bomba bertindak memeriksa dan memantau lokasi kejadian. Selepas melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi, penghadang telah dipasang bagi menutup laluan jambatan supaya penduduk kampung tidak melaluinya,” katanya.
Ridwan mengingatkan penduduk kampung dan pemandu kenderaan lain supaya tidak melalui kawasan itu dan menggunakan laluan alternatif lain.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JKR) Ranau ketika dihubungi menyatakan jalan berkenaan bukan di bawah bidang kuasa JKR tempatan.
Pegawai JKR Ranau yang baharu, Alvonna Farhanah berkata, jalan itu bukan di bawah seliaan JKR, namun pejabatnya akan membantu memberi komen atau nasihat teknikal jika diperlukan.
Akibat kejadian itu, ratusan orang tidak dapat meneruskan rutin harian mereka dan murid sekolah serta guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Mohimboyon berhampiran juga terpaksa memulakan sesi persekolahan baharu mereka melalui pembelajaran dari rumah (PdPR).































