Tun Musa (tengah) semasa lafaz perasmian penutupan majlis.
KOTA KINABALU : Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) Ke-40 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.
Majlis dimulakan dengan simbolik menandatangani plak perasmian sebelum beliau melawat galeri pameran seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Penganjuran KPTNS Ke-40 yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah menjadi platform penting memperkasa seni visual serta mengetengahkan bakat penggiat seni tempatan.
Antara kategori dipertandingkan ialah Penghargaan Khas Penyertaan Pelajar Sekolah Teramai, Penghargaan Khas Guru Inspirasi, Kategori A (7 hingga 12 tahun), Kategori B (13 hingga 17 tahun) serta Kategori C (terbuka).
Turut dipertandingkan Karya Pilihan Utama bagi Kategori B dan C serta Anugerah Khas Tokoh Seni Visual Negeri Sabah 2025.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.
































