Arthur menyampaikan sumbangan pada program berkenaan.
PAGALUNGAN: Khazanah hutan negara tidak seharusnya dikorbankan semata-mata untuk mengejar keuntungan ekonomi jangka pendek kerana manfaatnya dalam menangani perubahan iklim dan memelihara keseimbangan ekosistem jauh lebih besar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata nilai sebenar hutan bukan hanya terletak pada hasil kayu balak, tetapi turut merangkumi fungsinya sebagai penyerap karbon, pelindung biodiversiti dan khazanah alam untuk generasi akan datang.
Beliau berkata kawasan Parlimen Pensiangan yang mempunyai kawasan hutan simpan luas perlu dipelihara secara berterusan bagi memastikan sumber semula jadi itu tidak terjejas akibat pembangunan yang hanya mengutamakan pulangan sementara.
“Manfaat jangka panjang daripada pemeliharaan hutan jauh lebih besar berbanding keuntungan sementara yang diperoleh melalui aktiviti penebangan,” katanya ketika berucap pada Program Kesedaran Awam Melalui Program Penghijauan Malaysia di sini.
Arthur berkata semua pihak mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan kelestarian hutan terus menjadi keutamaan, terutama ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim yang semakin membimbangkan.
Program berkenaan turut menyaksikan pengagihan anak pokok buah-buahan termasuk durian, rambutan dan nangka kepada 40 kampung sebagai sebahagian usaha memperluas kawasan penghijauan serta meningkatkan peluang ekonomi penduduk setempat.
Beliau berkata pendekatan penghijauan itu bukan sekadar bertujuan memelihara alam sekitar, malah berpotensi memberikan manfaat ekonomi secara berterusan kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, hasil tanaman buah-buahan berkenaan boleh dimanfaatkan sebagai sumber makanan dan pendapatan tambahan, termasuk melalui cadangan penganjuran pesta buah-buahan pada masa depan.
Dalam pada itu, Arthur menegaskan usaha memelihara hutan tidak bermakna pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi masyarakat pedalaman perlu diketepikan.
Sebaliknya, beliau mahu agenda pembangunan dan kelestarian alam sekitar dilaksanakan secara seimbang supaya penduduk luar bandar turut menikmati kemajuan tanpa menjejaskan khazanah semula jadi.
Antara inisiatif pembangunan yang diketengahkan di kawasan Pensiangan termasuk menaik taraf jalan raya, menyediakan kemudahan tamu, membina kilang kopi serta mewujudkan pusat Tingkatan Enam.
Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan penting bagi meningkatkan akses kepada kemudahan asas, memperkukuh kegiatan ekonomi tempatan dan menyediakan peluang pendidikan lebih baik kepada masyarakat pedalaman.
Arthur berkata Pensiangan berpotensi menjadi contoh kawasan pedalaman yang mampu mencapai kemajuan ekonomi dan pembangunan sosioekonomi secara mampan, di samping mengekalkan kekayaan hutan serta keseimbangan ekosistem.


































