KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan operasi 24 jam Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP), Sabah, kini dalam proses pertimbangan Kementerian Kewangan Malaysia.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong menyatakannya demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat mengenai pelaksanaan operasi 24 jam JKDM dan agensi kerajaan lain (OGA) serta perluasan kawasan pelabuhan sedia ada SBCP.
Liew berkata cadangan itu melibatkan permohonan kelulusan dasar bagi pindaan perwartaan waktu kerja biasa JKDM kepada setiap masa pada mana-mana hari.
Beliau berkata sekiranya kelulusan dasar diperoleh, JKDM akan mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan pindaan dan perwartaan berkenaan.
“Pada masa ini, permohonan bagi cadangan pindaan tersebut sedang dalam proses pertimbangan Kementerian Kewangan Malaysia. Sekiranya kelulusan dasar diperoleh, JKDM akan mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan pindaan dan perwartaan berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, penyelarasan dan pelaksanaan waktu kerja biasa bagi Kastam kepada 24 jam di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar akan berkuat kuasa setelah pindaan diwartakan kelak,” katanya.
Liew berkata JKDM juga tidak mempunyai halangan terhadap cadangan perluasan kawasan operasi SBCP melibatkan kawasan tambahan seluas 14 ekar bersebelahan pelabuhan sedia ada.
Bagaimanapun katanya, sekiranya perluasan itu melibatkan pewujudan tempat pendaratan yang sah atau legal landing place baharu, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) perlu mengemukakan permohonan perwartaan baharu untuk pertimbangan pihak berkuasa berkaitan.
“Pelaksanaan perluasan kawasan tersebut hendaklah terlebih dahulu mengambil kira tahap kesiapsiagaan dari aspek infrastruktur dan kemudahan fizikal, sistem serta teknologi maklumat, keperluan perjawatan dan sumber manusia, kemudahan penguatkuasaan serta kawalan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata penyelarasan operasi antara JKDM dengan agensi kawalan sempadan dan agensi berkaitan juga perlu dipastikan, khususnya melibatkan pemeriksaan kargo, pelepasan barangan serta kawalan pergerakan keluar masuk.
Katanya, pelaksanaan perluasan kawasan pelabuhan itu juga hendaklah mematuhi segala peruntukan perundangan, perwartaan dan prosedur Kastam yang berkuat kuasa bagi memastikan keberkesanan kawalan serta kelancaran operasi pelabuhan tidak terjejas.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak pengurusan pelabuhan mengemukakan pelan pembangunan dan perancangan operasi bagi kawasan tambahan seluas 14 ekar tersebut kepada JKDM untuk penelitian dan penilaian lanjut.
Menurutnya, penelitian itu khususnya melibatkan keperluan penempatan pegawai, penyediaan kemudahan operasi, kesediaan sistem serta mekanisme kawalan Kastam.
Terdahulu, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah meminta penjelasan mengenai tempoh masa yang diperlukan Kementerian Kewangan dan JKDM untuk mewartakan operasi 24 jam di SBCP.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai halangan terhadap permohonan yang telah dikemukakan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui LPPS pada 9 Jun 2026.
Ewon berkata pelaksanaan operasi 24 jam JKDM dan OGA merupakan antara 10 Pelan Tindakan yang sedang dipantau dan diselaraskan oleh Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) bagi menangani isu kesesakan di SBCP.
Menurutnya, ketika ini JKDM beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam, manakala operasi di luar waktu berkenaan dilaksanakan secara kerja lebih masa (OT) berdasarkan permohonan pengguna pelabuhan.
Katanya, perbezaan waktu operasi JKDM dan OGA dengan operasi 24 jam di jeti oleh pengendali pelabuhan turut menyumbang kepada isu kesesakan logistik di SBCP.
Beliau berkata peningkatan aktiviti eksport dan import susulan perkembangan sektor perindustrian di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan kawasan Greater Kota Kinabalu turut meningkatkan jumlah kontena yang dikendalikan di pelabuhan berkenaan.
Selain itu, katanya, projek pembesaran SBCP yang sedang dilaksanakan turut memberi kesan kepada pergerakan pemeriksaan dan aktiviti logistik di pelabuhan.
Ewon turut membangkitkan cadangan penggunaan kawasan tambahan seluas 14 ekar bersebelahan SBCP sebagai kawasan penyimpanan kontena sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan itu disiapkan sepenuhnya.
Katanya, kawasan tambahan itu berpotensi digunakan bagi aktiviti eksport dan import, manakala kerja penyediaan kawasan berkenaan sedang dilaksanakan oleh syarikat konsesi pengendali pelabuhan.
































