Anwar Ibrahim
MANILA (Bernama): Malaysia menggesa para pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) untuk memperkukuh pertahanan siber dan memberi amaran bahawa serangan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) berpotensi melumpuhkan infrastruktur penting merentasi sempadan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata AI mengubah landskap ekonomi dengan pantas dan pada masa sama, menyediakan alat yang lebih canggih kepada pihak lawan untuk melancarkan serangan merentasi sempadan.
“Gelombang serangan siber yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini menggambarkan norma baharu yang berbahaya sekali gus membuktikan bahawa bagi mengelakkan krisis pada masa hadapan, kita memerlukan tadbir urus antarabangsa dan serantau yang mantap serta langkah perlindungan yang berkesan,” katanya pada mesyuarat EAS ke-21 di sini hari ini.
Teks ucapan Anwar, yang pulang seketika ke Kuala Lumpur untuk menyambut ketibaan Presiden Perancis Emmanuel Macron sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia, dibacakan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau turut menyeru para pemimpin untuk memperbaharui komitmen mereka terhadap EAS sebagai forum bagi dialog strategik dan memastikan saluran komunikasi kekal terbuka demi menguruskan perbezaan pendapat susulan perubahan global yang pesat.
Anwar juga berkata kerjasama serantau yang lebih erat amat penting bagi memastikan rantaian bekalan terus terbuka selain memperkukuh keterjaminan tenaga dan makanan.
“EAS mesti kekal teguh dalam mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka dan berasaskan peraturan serta memperkukuh rantaian bekalan kita,” katanya.
Mengulas mengenai Myanmar, Perdana Menteri menggesa rakan-rakan sidang kemuncak agar terus memberikan bantuan kemanusiaan termasuk melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (Pusat AHA).
Beliau berkata Konsensus Lima Perkara ASEAN mesti terus menjadi panduan bagi semua usaha kolektif dalam menangani krisis itu.
Berhubung dengan situasi di Gaza, Anwar menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta dan secara kekal, akses bantuan kemanusiaan diberikan tanpa halangan, orang awam dilindungi serta penyelesaian yang adil dicapai berdasarkan hak-hak sah rakyat Palestin.
Perdana Menteri turut menggesa para pemimpin agar memastikan saluran komunikasi terus terbuka.
“Kekuatan EAS terletak pada komitmen kita untuk menguruskan pergeseran dan perbezaan melalui sikap saling menghormati serta dialog yang berterusan,” katanya. — BERNAMA
































