Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan di Sabah, memperluas perkhidmatan pakar, meningkatkan akses rawatan kesihatan luar bandar serta mempercepat penggantian bangunan sekolah usang di Tuaran.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat hari ini, dengan menekankan keperluan menambah doktor, pakar perubatan dan Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan secara berkesan dan berterusan di negeri ini.
Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO meminta KKM menjelaskan dapatan kajian keperluan doktor di Sabah, termasuk punca kesukaran penempatan serta sasaran pertambahan bersih doktor pada 2027 selepas mengambil kira jumlah pegawai perubatan yang meninggalkan perkhidmatan.
Beliau mencadangkan bantuan perpindahan, penyediaan kuarters dan insentif pengekalan bagi menarik serta memastikan lebih ramai pakar terus berkhidmat di Sabah.
Berkongsi pengalaman seorang kenalannya yang membantu membiayai perpindahan seorang pakar kardiologi yang bersedia kembali berkhidmat di Sabah selepas menamatkan latihan kepakaran, beliau berkata kos berkenaan termasuk membawa kenderaan dan barangan peribadi.
“Kalau pakar mahu datang, mudahkanlah urusannya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya KKM bersama Kerajaan Sabah meneliti kemungkinan pemberian taraf penduduk tetap kepada doktor bukan anak Sabah, dengan syarat mereka terus berkhidmat bersama KKM di negeri ini serta mempunyai mekanisme semakan sekiranya beralih ke sektor swasta.
“Dalam jangka panjang, kerjasama antara KKM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu diperkukuh bagi memperluas peluang anak Sabah yang layak mengikuti latihan perubatan,” katanya.
Selain kekurangan doktor, Madius membangkitkan keperluan menambah petugas makmal di beberapa fasiliti kesihatan dalam kawasan Tuaran.
Menurut maklumat yang diterimanya, Klinik Kesihatan Kiulu dan Klinik Kesihatan Simpangan masing-masing hanya mempunyai seorang JTMP.
“Saya memohon satu jawatan tambahan di setiap klinik bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan ketika petugas bercuti atau menghadiri latihan,” katanya.
Beliau turut meminta KKM mengesahkan maklumat bahawa Hospital Tuaran mempunyai 11 jawatan tetap JTMP bagi menyokong operasi makmal 24 jam yang mengendalikan lebih 800,000 ujian setahun, dengan peningkatan sekitar 15 peratus setiap tahun.
Beliau menggesa kementerian menambah perjawatan mengikut beban kerja bagi memastikan keputusan makmal dapat disiapkan tepat pada masanya.
Mengenai perkhidmatan pakar, Madius menggesa supaya perkhidmatan pakar dan subkepakaran diperluas ke hospital daerah, termasuk menerusi lawatan pakar secara berkala dengan jadual tetap, petugas mencukupi serta peralatan bersesuaian.
Beliau turut meminta keupayaan pembedahan jantung kanak-kanak di Sabah dipertingkatkan, sambil memaklumkan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) sudah menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kongenital bagi kes tidak kompleks, namun kes tertentu masih perlu dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).
“Keadaan ini menyebabkan keluarga pesakit terpaksa menanggung kos tambahan, khususnya tambang perjalanan dan penginapan ketika anak mereka memerlukan rawatan,” katanya.
Beliau mencadangkan supaya KKM mempertimbangkan lawatan berkala pakar bedah kardiotorasik berpengalaman dalam pembedahan jantung kanak-kanak ke Sabah, dengan sokongan pasukan bius, rawatan rapi dan kemudahan lengkap bagi memastikan pembedahan dapat dilaksanakan dengan selamat.
Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli meminta KKM menjelaskan perancangan penambahan keupayaan rawatan berkenaan pada 2027 supaya lebih banyak kes dapat dibedah dengan selamat di Sabah.
Beliau turut menggesa KKM mempertimbangkan cadangan menaik taraf Klinik Desa Topokon menjadi Klinik Kesihatan bagi meningkatkan akses rawatan kepada penduduk setempat.
Katanya, cadangan itu dapat mengurangkan keperluan penduduk melakukan perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenghilan atau Tamparuli, khususnya bagi masyarakat luar bandar yang berdepan kekangan pengangkutan dan perjalanan.
Beliau menegaskan bahawa penaiktarafan itu perlu disertai penambahan petugas kesihatan serta peralatan perubatan mencukupi supaya klinik berkenaan mampu menyediakan perkhidmatan lebih menyeluruh.
Sementara itu, dalam isu berkaitan infrastruktur pendidikan, Madius membangkitkan keperluan mempercepat penggantian bangunan Skala Tujuh dan bilik darjah kabin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli serta SMK Tenghilan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan murid serta guru.
Beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan pelan pelaksanaan, status peruntukan, tarikh tender dan sasaran penyiapan projek penggantian bangunan berkenaan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata KPM memandang serius keperluan menggantikan bangunan Skala Tujuh dan menyediakan kemudahan bilik darjah lebih selamat di kedua-dua sekolah berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal diselaraskan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pada 3 Ogos 2026, sebelum Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 2 Tahun 2026 dilaksanakan pada 18 Ogos lalu dengan penyertaan Madius serta agensi negeri berkaitan.
“Hasil daripada tindakan tersebut, bangunan Skala Tujuh yang dikenal pasti berisiko telah dikosongkan serta-merta bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Bagi SMK Tenghilan, Wong berkata KPM merancang pembinaan 14 bilik darjah sementara menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) di bawah Rolling Plan 2 (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Kerja-kerja awalan disasarkan bermula pada awal Februari 2027, dengan tempoh pembinaan antara enam hingga sembilan bulan dan sasaran siap pada Disember 2027.
Bagi SMK Tamparuli pula, enam bilik darjah sementara sedang dibina dan dijadualkan siap pada Disember 2026. KPM turut merancang pembinaan antara 14 hingga 16 bilik darjah menggunakan kaedah Modular IBS di bawah peruntukan RP2 RMK13 tahun 2027.
Wong berkata kerja-kerja awalan bagi projek itu juga disasarkan bermula pada awal Februari 2027, dengan tempoh pembinaan antara enam hingga sembilan bulan.
Bagi penyelesaian jangka panjang, KPM sedang menyelaras pelaksanaan penilaian integriti struktur bangunan atau Structural Integrity Testing (SIT) bersama JKR Sabah bagi menentukan tahap keselamatan bangunan sedia ada serta mengenal pasti blok yang perlu dirobohkan dan dibina semula.
“Berdasarkan hasil penilaian SIT tersebut, KPM merancang mengemukakan permohonan peruntukan di bawah RP3 RMK13 tahun 2028 bagi projek penggantian atau pembinaan semula bangunan akademik yang dikenal pasti tidak selamat.
“Bagaimanapun, saya menegaskan bahawa proses penilaian dan penyediaan permohonan berkenaan perlu dipercepatkan kerana permohonan di bawah RP3 RMK13 perlu dikemukakan sebelum Mac tahun hadapan,” katanya.
Madius berkata perkembangan yang diumumkan KPM itu merupakan langkah awal ke arah menyelesaikan masalah infrastruktur pendidikan di kedua-dua sekolah, namun pelaksanaan penilaian SIT, kelulusan peruntukan dan jadual pembinaan perlu dipantau supaya perancangan dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata.
Beliau menegaskan keselamatan murid dan guru serta penyediaan kemudahan pendidikan yang kondusif perlu terus menjadi keutamaan dalam pembangunan infrastruktur sekolah di Sabah.
































