KOTA BHARUL (Bernama): Penggunaan kod QR sebagai kaedah pembayaran antara modus operandi rangkaian penyeludupan pendatang yang dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA), susulan penahanan seorang lelaki tempatan di Kampung Neting, Tumpat, hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki berusia 25 tahun itu, mengaku menerima upah RM80 bagi setiap migran yang dibawa sejak awal November.
Beliau berkata hasil soal siasat awal mendapati, suspek menerima arahan daripada seorang individu yang dipercayai berada di Thailand, untuk menguruskan pengambilan dan penghantaran migran berkenaan, manakala bayaran dibuat oleh tekong laut melalui pindahan wang menggunakan kod QR.
“Kesemua migran itu dipercayai dibawa dari Pantai Geting, Tumpat ke Lubok Jong, Pasir Mas sebelum diserahkan kepada transporter lain untuk dibawa ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata suspek lelaki itu ditahan kira-kira 6 pagi, selepas kereta Honda Accord dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pasukan serbuan yang menjalankan Ops Taring Wawasan Kelantan.
“Pemeriksaan menemukan lapan warga Myanmar, terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita berusia 18 hingga 38 tahun, yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Lapan warga Myanmar itu dipercayai membayar kira-kira RM3,000 seorang kepada ejen di negara asal dengan janji pekerjaan dalam sektor pembersihan di Kuala Lumpur,” katanya. — BERNAMA
































