PUTRAJAYA (Bernama): Bidang profesional pengiklanan dan pemasaran mencatatkan bilangan penawaran pekerjaan tertinggi pada suku tahun ketiga (ST3 2026) dengan 44,989 penawaran pekerjaan direkodkan, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
DOSM memaklumkan dalam kenyataan hari ini, kedudukan itu disusuli profesional bersekutu pentadbiran dengan 29,708 penawaran pekerjaan, pengarah urusan dan ketua eksekutif (27,915), akauntan dan juruaudit (23,562) dan pembangun perisian dengan 18,109 penawaran pekerjaan.
“Bilangan penawaran pekerjaan yang diiklankan secara dalam talian pada ST3 2026 meningkat 17.8 peratus kepada 654,655, berbanding 555,509 pada suku tahun kedua 2026 (ST2 2026).
“Sementara itu, bilangan syarikat yang mengiklankan penawaran pekerjaan juga meningkat kepada 95,102 pada ST3 berbanding 79,510 pada ST2 2026,” menurut DOSM.
Dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tiga pekerjaan tertinggi yang ditawarkan ialah juruteknik dengan 8,306 penawaran pekerjaan, diikuti pengurus jualan (5,001) dan eksekutif pemasaran (4,810).
Bagi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), juruteknik merekodkan penawaran pekerjaan tertinggi iaitu 8,306, diikuti jurutera (4,343) dan juruukur bahan (4,294) manakala bagi pekerjaan di bawah senarai pekerjaan kritikal (COL), eksekutif jualan mencatatkan permintaan tertinggi dengan 9,772 penawaran pekerjaan disusuli penolong pengurus (9,520) dan eksekutif akaun (9,290).
Menurut DOSM, analisis berkenaan bermanfaat kepada pencari kerja kerana menyediakan maklumat penawaran pekerjaan mengikut bidang, sektor ekonomi, TVET, STEM dan COL manakala maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang https://statsbdaai.dosm.gov.my/pages/modules/lma. — BERNAMA

































