Ruslan (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan, Fredlee Joel Frederick.
KOTA KINABALU: Graduan pertanian diseru memainkan peranan sebagai penggerak transformasi sektor agromakanan Sabah, khususnya dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan pengeluaran tempatan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata graduan perlu memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk memodenkan sektor pertanian melalui penerapan teknologi serta amalan pertanian moden.
Beliau turut menyeru graduan supaya menjadi ejen perubahan dalam mempromosikan amalan pertanian baik menerusi pensijilan myGAP dan myOrganic yang dilaksanakan Jabatan Pertanian Sabah.
Beliau menggesa mereka menerajui inisiatif Kebun Dapur di kawasan masing-masing sebagai usaha menggalakkan penanaman makanan di rumah dan premis kerajaan, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup serta memperkukuh sekuriti makanan.
Jamawi berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS) ke-54, Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) ke-42 dan Pusat Latihan Pertanian Bersepadu (IATC) ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan I, Datuk Haji Ruslan Muharam.
Seramai 246 graduan diraikan pada majlis berkenaan yang julung kali menggabungkan ketiga-tiga pusat latihan itu.
Beliau berkata kesemua graduan mencatatkan keputusan lulus 100 peratus, sekali gus membuktikan tahap disiplin, kesungguhan dan kualiti pembelajaran yang kompetitif.
Malah, kadar kebolehpasaran graduan IPS dan AVTC turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila masing-masing mencatatkan 64.5 peratus dan 82.5 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Ramai dalam kalangan graduan telah pun mendapat tawaran pekerjaan sejurus tamat latihan industri, malah ada yang dilamar sebelum majlis konvokesyen ini berlangsung.
“Ini adalah bukti nyata bahawa silibus pertanian kita berimpak tinggi dan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran kerja semasa,” katanya.
Beliau berkata graduan perlu melihat sijil yang diterima bukan sekadar bukti tamat pengajian, sebaliknya amanah untuk membuktikan bahawa pertanian merupakan bidang berteknologi tinggi, berprestij dan berpotensi memberikan pendapatan lumayan.
Jamawi berkata sektor agromakanan Sabah kini berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan geopolitik, perubahan iklim dan ketidaktentuan pasaran yang menjejaskan rantaian bekalan serta meningkatkan kos input pertanian seperti baja dan racun.
Kebergantungan terhadap tenaga kerja asing, penggunaan jentera konvensional serta import komoditi asas dan makanan ternakan seperti jagung bijirin turut perlu ditangani melalui peningkatan pengeluaran tempatan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memperuntukkan RM33.5 juta bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk pembangunan ketiga-tiga pusat latihan berkenaan menerusi inisiatif Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
Peruntukan itu bertujuan menaik taraf kemudahan plot ladang amali, makmal teknologi, pembinaan asrama baharu serta kemudahan perumahan kakitangan bagi menyediakan persekitaran latihan yang lebih kondusif.
Beliau berkata penggunaan teknologi moden seperti dron semburan, penderia Internet of Things (IoT), automasi pengairan dan kecerdasan buatan (AI) turut akan diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti tanaman makanan.
Langkah itu juga dijangka membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import jagung bijirin untuk makanan ternakan, sekali gus menyumbang kepada kestabilan harga telur dan ayam.
Sementara itu, Jamawi berkata Sabah mencatat kejayaan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 5 November 2026 bagi kategori Highest Altitude Coffee Plantation 2026 menerusi pembangunan hab utama penanaman kopi Arabica di Kampung Toboh Lama, Ranau.
Ladang kopi berkenaan terletak pada ketinggian 1,444 meter dari aras laut di lereng Gunung Kinabalu.
Katanya, kementerian juga terus menggalakkan pengeluaran tanaman bernilai tinggi seperti avokado QAV1, durian Musang King dan Black Thorn, selain mempergiatkan promosi hasil tempatan termasuk nanas MD2 serta pemprosesan buah-buahan.
Dalam usaha meningkatkan nilai tambah hasil pertanian, kementerian turut memberi penekanan kepada pembangunan industri hiliran, termasuk pemprosesan halia menjadi buah kering serta penghasilan produk inovatif seperti mi avokado dan susu.
Beliau berkata usaha turut dipergiatkan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negeri daripada 22 hingga 30 peratus menjelang 2030.
Pada masa sama, beliau menyeru pemain industri perladangan supaya memperuntukkan 10 peratus daripada keluasan tanaman industri masing-masing untuk tanaman makanan bagi menyokong usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran tempatan.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap II, Maria David Edick; Pengarah Pertanian Sabah, Jackson Ronald Raimi serta para pendidik.

































