KOTA KINABALU: Sabah mahu menjadi pemain aktif dalam ekonomi tenaga serantau dan bukan sekadar penghubung geografi dalam rangkaian grid elektrik serantau.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata penyertaan Sabah dalam ekonomi tenaga serantau perlu membawa manfaat nyata kepada industri, komuniti dan rakyat negeri ini.
Beliau berkata kerjasama dalam rangkaian tenaga serantau bukan sahaja perlu meningkatkan keselamatan bekalan tenaga, malah membuka peluang ekonomi dan memperkukuh daya saing jangka panjang Sabah.
“Sabah tidak sekadar mahu menjadi penghubung geografi dalam grid tenaga serantau. Kita mahu menjadi peserta aktif dalam ekonomi tenaga serantau, memastikan manfaat daripada peningkatan hubungan dan pelaburan dirasai oleh industri, komuniti dan, paling penting, rakyat kita,” katanya ketika merasmikan pembukaan Bengkel Pelaburan Tenaga dan Hubungan Rangkaian Serantau Sabah anjuran Bank Pembangunan Asia (ADB) di Hotel Hilton, di sini, hari ini.
Masidi berkata bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan pada harga berpatutan merupakan asas penting untuk menyokong perindustrian, menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.
Menurutnya, Sabah sekian lama berdepan cabaran berkaitan infrastruktur elektrik yang tidak sentiasa berkembang seiring keperluan pembangunan, khususnya di pantai timur dan kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, beliau berkata negeri ini menunjukkan kemajuan menggalakkan sejak mengambil alih kawal selia elektrik dan tenaga boleh diperbaharui pada Januari 2024.
Margin rizab penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos tahun ini.
Katanya, Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 menyediakan kerangka penting untuk meningkatkan kebolehpercayaan bekalan, memperluaskan elektrifikasi luar bandar dan mempelbagaikan campuran tenaga negeri.
Namun, beliau menegaskan cabaran utama ketika ini ialah menterjemahkan perancangan berkenaan kepada pembangunan infrastruktur yang berfungsi serta penambahbaikan yang dapat dirasai rakyat.
Masidi berkata kejayaan hubungan grid elektrik Sarawak-Sabah yang mula membekalkan tenaga pada Disember tahun lalu membuktikan manfaat kerjasama antara wilayah.
Projek Southern Link juga penting untuk memperkukuh rangkaian penghantaran elektrik Sabah dan meningkatkan penyaluran bekalan ke pantai timur.
Beliau berkata peningkatan kapasiti penjanaan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya elektrik tidak dapat disalurkan dengan cekap ke kawasan yang memerlukannya.
Dalam pada itu, kedudukan geografi Sabah antara Sarawak, Kalimantan dan selatan Filipina turut membuka peluang untuk menyertai rangkaian tenaga serantau yang lebih luas.
Antara potensi yang sedang dipertimbangkan ialah hubungan elektrik Kalimantan Utara-Sabah, Grid Borneo serta kemungkinan hubungan Sabah-Filipina.
Bagaimanapun, Masidi berkata peluang berkenaan perlu dinilai secara praktikal dan memastikan setiap projek memberikan manfaat ekonomi, meningkatkan keselamatan tenaga serta berdaya maju dari sudut komersial.
Beliau menegaskan hubungan tenaga serantau juga mesti melengkapi keperluan elektrik Sabah sendiri dan tidak menjejaskan kepentingan pengguna tempatan.
Sabah turut mempunyai potensi besar dalam pembangunan sumber tenaga lebih bersih, termasuk solar, hidro, bioenergi dan geoterma.
Katanya, Kerajaan Negeri juga sedang meneroka potensi Teknologi Penukaran Tenaga Terma Lautan (OTEC) yang menggunakan perbezaan suhu antara air laut di permukaan dengan air di laut dalam untuk menjana elektrik.
Bagaimanapun, setiap teknologi perlu dinilai berdasarkan tahap kematangan komersial, kesan alam sekitar dan kemampuan dari segi kos.
Masidi berkata ADB boleh memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyediakan akses kepada pembiayaan, tetapi juga membantu menilai projek secara objektif, memperkukuh persediaan teknikal serta membangunkan struktur pelaburan yang bersesuaian.
Katanya, Kerajaan Negeri perlu memastikan projek yang dirancang bukan sahaja menarik di atas kertas, tetapi juga berdaya maju dari sudut teknikal dan komersial serta mampu menarik pelaburan sebenar.
Dari perspektif kewangan, beliau berkata pembangunan infrastruktur tenaga memerlukan pelaburan besar untuk jangka panjang dan Kerajaan Negeri tidak boleh dijangka membiayai semua projek sepenuhnya menggunakan sumber awam.
Sehubungan itu, Sabah mengalu-alukan kaedah pembiayaan inovatif dan kerjasama yang dapat menggerakkan modal swasta, mengagihkan risiko secara bersesuaian serta melindungi kepentingan kewangan jangka panjang negeri.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan pelaburan tenaga mewujudkan peluang bermakna kepada rakyat Sabah, khususnya melalui penyertaan syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, penyelenggaraan dan perkhidmatan teknikal.
Katanya, pembangunan jurutera, juruteknik dan tenaga profesional tempatan juga perlu diberi perhatian supaya rakyat Sabah bukan sekadar menjadi pemerhati terhadap pelaburan yang dilaksanakan di negeri sendiri.
Justeru, beliau berharap kerjasama dengan ADB dapat diperluaskan melangkaui pembiayaan infrastruktur, termasuk pembangunan kapasiti, pemindahan pengetahuan dan pengukuhan institusi tempatan.
Masidi berkata bengkel berkenaan diharap dapat menghasilkan keutamaan yang jelas serta langkah susulan yang boleh dilaksanakan, termasuk mengenal pasti projek yang berdaya maju dari sudut teknikal dan komersial, mekanisme pembiayaan serta sokongan diperlukan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata Sabah terbuka kepada kerjasama konstruktif dengan ADB dan semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan masa depan tenaga yang lebih stabil, mampu milik dan mampan.

































