Hajiji (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan TP Group, Tan Sri Paul Lim (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif TP Group, Datuk Peter Chu (tiga dari kanan) serta Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kiri), Datuk Seri Masidi Manjun (dua dari kanan) dan Datuk Ewon Benedick (kanan) semasa upacara memotong reben sempena perasmian Sheraton Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin sektor pelancongan Sabah akan terus kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran susulan konflik semasa di Timur Tengah.
Beliau mengakui banyak perniagaan perlu mengambil langkah berani dan tegas bagi menangani ketidaktentuan akibat situasi tersebut.
“Krisis ini akan mengubah secara asas cara kita beroperasi. Setiap sektor akan terkesan, justeru kita perlu menyesuaikan diri dan berinovasi dalam amalan perniagaan.
“Namun, masa depan masih cerah. Di sebalik cabaran ini, saya amat menggalakkan melihat keyakinan pelabur yang kukuh terhadap sektor pelancongan Sabah,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian Sheraton Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Kementerian Pelancongan negeri sedang memperhalusi strategi secara proaktif bagi menangani cabaran baharu dan memastikan Sabah kekal sebagai destinasi utama yang berdaya tahan serta menarik di peringkat global.
Katanya, Kerajaan Negeri turut memperkukuh daya saing Sabah menerusi pelbagai inisiatif strategik bagi memastikan pengalaman pelawat berjalan lancar.
Ini termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa bagi meningkatkan kesalinghubungan, membangunkan produk pelancongan premium, menambah baik standard perkhidmatan mengikut penanda aras antarabangsa serta menganjurkan acara bernilai tinggi.
“Melalui usaha ini, kita menyasarkan untuk meletakkan Sabah bukan sahaja sebagai destinasi percutian utama, malah sebagai hab perniagaan yang dinamik,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan beberapa hotel baharu sedang dalam pembinaan atau hampir siap, termasuk Avani dan Fairfield by Marriott, Grandis di The Peninsula, Kota Kinabalu, Club Med di Kuala Penyu, InterContinental di Papar serta Wyndham di Semporna.
“Pembangunan ini akan menambah kira-kira 2,740 bilik kepada inventori sedia ada, mencerminkan daya tahan dan keyakinan pemain industri walaupun dalam keadaan tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata, impak ekonomi daripada pembangunan hotel ini amat besar.
“Kita melihat ratusan peluang pekerjaan diwujudkan, bukan sahaja dalam sektor hotel, tetapi juga merangkumi rantaian bekalan, perkhidmatan dan perniagaan berkaitan. Pembekal tempatan, restoran dan produk pelancongan turut mendapat manfaat.
“Selain itu, pembangunan hotel baharu ini akan meningkatkan profil Sabah sebagai destinasi utama, menarik persidangan, acara korporat dan pelancong bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh ekonomi negeri melalui hasil pelancongan yang mampan,” katanya.
Hajiji berkata, pembukaan Sheraton Kota Kinabalu bernilai lebih RM300 juta merupakan satu pencapaian penting ketika Sabah memanfaatkan peluang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Momentum ini akan diteruskan hingga 2027 dan menjadi pemangkin kepada persiapan berterusan ke arah Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya.
Beliau yakin Sheraton Kota Kinabalu akan memainkan peranan penting dalam mempamerkan budaya, warisan dan keramahan rakyat Sabah.
“Ia juga menghantar mesej jelas bahawa Sabah terbuka untuk perniagaan dan bersedia bersaing di pentas global,” katanya.
































