Jamawi Jaafar
TENOM: Enam anak muda yang kehilangan motosikal troli selepas bertindak pantas membantu menghentikan kereta api yang mengalami kegagalan brek di Kampung Pangi baru-baru ini menerima khabar gembira apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersetuju menyumbangkan motosikal baharu kepada mereka.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim.
“Semalam saya telah dihubungi oleh Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Azrul Ibrahim yang menyatakan Ketua Menteri telah bersetuju untuk menyumbangkan motosikal baharu bagi keenam-enam motosikal yang musnah atau rosak dalam peristiwa kereta api kehilangan fungsi brek awal pagi kelmarin di Kampung Pangi, Tenom,” katanya.
Jamawi berkata, mewakili keenam-enam anak muda terbabit, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan dan sumbangan tersebut.
“Mewakili keenam-enam anak muda tersebut, saya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih atas keprihatinan dan sumbangan ini,” katanya.
Mengulas insiden yang tular dengan gelaran “Train To Pangi” itu, Jamawi berkata, pelbagai versi cerita timbul susulan kejadian berkenaan.
Namun katanya, hakikat paling penting ialah tindakan berani enam pemilik motosikal troli yang meletakkan kenderaan mereka di atas landasan bagi memperlahankan kereta api yang gagal dikawal akibat masalah brek.
“Ringkasnya, jika tiada enam buah motosikal troli yang diletakkan di landasan, kemungkinan bencana yang lebih besar akan berlaku apabila kelajuan kereta api tidak boleh dikawal oleh pemandu,” katanya.
Menurut beliau, kedudukan motosikal berkenaan berjaya memperlahankan pergerakan kereta api sekali gus memberi ruang kepada pemandu mengawal keadaan dengan tenang.
Jamawi turut memuji tindakan profesional pemandu kereta api yang tidak panik ketika berdepan situasi cemas itu.
“Tahniah juga kepada pemandu kereta api yang tenang dan tidak panik mengawal keadaan. Kedudukan enam buah motosikal tersebut telah berjaya memperlahankan kereta api dan membolehkan pemandu mengawalnya,” katanya.
Beliau menyifatkan keenam-enam pemilik motosikal troli itu sebagai ‘unsung hero’ yang sanggup berkorban demi keselamatan guru-guru dan penumpang.
“Terima kasih kepada ‘unsung hero’ enam anak muda pemilik motosikal troli dan juga pemandu kereta api,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jamawi turut menitipkan kata-kata semangat kepada guru-guru Sekolah Kebangsaan Pangi yang berada dalam kereta api berkenaan ketika kejadian.
“Kepada semua guru-guru SK Pangi, semoga tidak lemah semangat untuk terus mendidik anak bangsa di pedalaman. Saya bangga dengan anda semua,” katanya.
Insiden berkenaan mencetuskan perhatian ramai apabila tindakan pantas penduduk kampung berjaya mengelakkan kemungkinan tragedi lebih buruk, sekali gus menonjolkan semangat kebersamaan masyarakat luar bandar dalam situasi kecemasan.
































