Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Borneo Bloc bukanlah soal menguatkan kuasa politik di peringkat Persekutuan, sebaliknya bertujuan memperkukuh keseimbangan dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa Sabah dan Sarawak menggunakan cadangan itu untuk memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan wajar dilihat dalam konteks sejarah serta semangat pembentukan Malaysia.
Menurutnya, cadangan pembentukan Borneo Bloc tidak harus ditafsirkan sebagai usaha untuk mendominasi Semenanjung.
“Hal ini merupakan usaha politik yang sah dan matang untuk menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen.
“Melalui sistem persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan bukan sesuatu yang perlu dipandang negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah.
Walaupun Sabah dan Sarawak ketika itu berada di bawah pentadbiran British, penyertaan kedua-dua wilayah dalam Persekutuan Malaysia dibuat melalui rundingan yang jelas serta disertai jaminan perlindungan tertentu bagi menjaga identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan.
Katanya, jaminan berkenaan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada pembentukan negara ini.
“Perkara-perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan serta beberapa perkara berkaitan pelaksanaan MA63 bukanlah keistimewaan yang berlebihan.
“Semua ini merupakan sebahagian daripada komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia. Maka usaha berterusan untuk menuntut dan memperkukuh pelaksanaan perkara-perkara ini adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang,” katanya.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, cadangan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih saksama.
Beliau berkata, dengan mengambil kira keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza, adalah wajar suara rakyat di Sabah dan Sarawak diwakili secara lebih seimbang dalam Parlimen Malaysia.
“Pembentukan Borneo Bloc mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
“Ia bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah supaya isu pembangunan, hak Perlembagaan dan kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih teratur dan konstruktif,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah dan bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo.
“Oleh itu, sebarang usaha untuk memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkuatkan negara secara keseluruhan,” katanya.


































