KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menetapkan penanda aras baharu bagi pengalaman berbuka puasa tahun ini menerusi program Ramadan 2026 yang menampilkan “Resepi Nusantara – Asian Buffet 2026”, dengan 850 hidangan Asia dan Kontinental bermula 26 Februari hingga 18 Mac 2026.
Bufet berskala besar yang dikurasi oleh pasukan kulinari SICC itu direka bagi menggalakkan momen kebersamaan, kunjungan berulang dan pengalaman menjamu selera yang bermakna sepanjang bulan Ramadan.
Edisi tahun ini memperkenalkan rangkaian kuih-kuih tradisional yang diperluas, sajian autentik gaya penjaja Asia yang diinspirasikan daripada makanan jalanan serantau, serta resipi warisan turun-temurun. Hidangan istimewa yang ditampilkan mengimbangi elemen nostalgia dan penerokaan rasa baharu, sekali gus menawarkan kelainan pada setiap kunjungan.
Selain kepelbagaian sajian, program Ramadan 2026 turut mencerminkan komitmen SICC terhadap penglibatan komuniti dan pertumbuhan inklusif.
Sempena pelancaran program, SICC menganjurkan majlis Iftar khas untuk pelajar dan penjaga daripada beberapa institusi tahfiz tempatan, termasuk Madrasah Darul Hadis DarSa Sabah, Akademi Tahfiz An Nuur dan Pusat Tahfiz Al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Inisiatif itu memperkukuh komitmen pusat konvensyen berkenaan terhadap tanggungjawab sosial sepanjang bulan suci.

Satu lagi ciri utama program tahun ini ialah kerjasama strategik yang diperkukuh dengan agensi persekutuan dan negeri bagi menyokong ekosistem pertanian dan perikanan Malaysia. Rakan strategik termasuk Jabatan Pertanian Malaysia (DoA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA).
Melalui kerjasama ini, hasil tani dan makanan laut tempatan diserap ke dalam penawaran Ramadan SICC, sekali gus menyokong petani, koperasi dan komuniti perikanan di samping memastikan kesegaran, kebolehkesanan dan kualiti untuk para tetamu.
Program ini turut menjana permintaan bermusim yang mampan, menyumbang kepada peluasan akses pasaran, kestabilan pendapatan serta peningkatan keterlihatan pengeluar tempatan, selain merangsang rantaian bekalan, logistik dan perusahaan kecil yang berkait dengan sektor hospitaliti.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr. Hajah Rosmawati Haji Lasuki berkata, setiap tahun pihaknya meningkatkan standard pengalaman Ramadan yang ditawarkan.
“Bagi 2026, fokus kami adalah kepelbagaian yang lebih menyeluruh, kolaborasi bermakna bersama agensi nasional dan tempatan, serta mewujudkan persekitaran yang mesra dan selesa untuk keluarga, komuniti dan kumpulan korporat berkumpul.
“Ramadan di SICC bukan sekadar pengalaman menjamu selera, tetapi platform yang menyatukan masyarakat dan menyokong ekosistem yang lebih luas,” katanya.

Melengkapkan bufet utama ialah rangkaian pengalaman makan yang dikurasi khas, termasuk Ruang Makan VVIP Persendirian yang mampu menampung sehingga 280 tetamu serta dilengkapi kemudahan solat dan fasiliti mesra tetamu, menjadikan SICC antara lokasi di Sabah yang menawarkan tahap kemudahan dan inklusiviti sedemikian.
Tetamu juga boleh menikmati Sahur @ Meranti Café dari 26 Februari hingga 17 Mac 2026 yang menawarkan bufet lewat malam dalam suasana tenang dan menyegarkan sebelum memulakan ibadah puasa.
Bagi kemudahan tambahan, Ramadan Takeaway by SICC turut kembali dengan set hidangan terpilih sesuai untuk sungkai dan sahur, ideal untuk santapan di rumah, pemberian hadiah atau majlis kecil.
Pengarah Operasi Makanan dan Minuman SICC, Chef Mohd. Firdaous Mohd. Izhar berkata, menu tahun ini diperhalusi dengan penekanan terhadap keseimbangan, konsistensi dan kepelbagaian.
“Melalui kerjasama rapat dengan pembekal dan agensi tempatan, kami dapat mengekalkan keaslian rasa sambil menyampaikan skala dan kualiti yang diharapkan daripada SICC,” katanya.
Kepimpinan kulinari SICC sebelum ini turut mendapat pengiktirafan daripada Asia Book of Records bagi “Maximum Dishes Prepared for the International Cuisine”, sekali gus mengukuhkan reputasinya dalam penyediaan pengalaman makan berskala besar dan berkualiti tinggi.
Direka untuk perhimpunan keluarga, iftar korporat dan sambutan komuniti, program Ramadan 2026 SICC menggabungkan skala, keselesaan dan kecemerlangan operasi dalam satu pengalaman yang menyeluruh.
































