KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah baik kategori Undi Pos bagi membolehkan lebih ramai rakyat, khususnya pelajar Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia, menunaikan hak mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Ketua Pemuda PBS, Shahrun Nidzam Sharoom berkata, langkah itu penting memandangkan ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak menghadapi kesukaran untuk pulang ke negeri asal ketika pilihan raya disebabkan jarak yang jauh, kos perjalanan tinggi dan kekangan masa.
“Ramai pelajar kita layak mengundi tetapi tidak dapat menunaikan tanggungjawab tersebut. Buat masa ini, undi pos hanya merangkumi beberapa kategori termasuk pelajar dan warga Malaysia di luar negara (Kategori 1B). Namun, pelajar dalam negara yang berada di luar wilayah asal — seperti pelajar Sabah dan Sarawak di Semenanjung — tidak termasuk dalam skim sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, SPR wajar meneliti penambahbaikan sistem undi pos bagi memastikan akses pengundi antara wilayah lebih inklusif dan mesra pelajar.

Shahrun Nidzam Sharoom
Shahrun mencadangkan agar SPR menambah kategori pengundi pos bagi pelajar Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia, dan sebaliknya. Selain itu, SPR juga boleh mewujudkan sistem pendaftaran khas Undi Pos secara dalam talian melalui portal rasmi dengan pengesahan daripada institusi pengajian bagi mengesahkan kelayakan pelajar.
Beliau turut menyarankan supaya SPR bekerjasama dengan IPTA dan IPTS untuk menubuhkan pusat undi pos di kampus utama, pejabat hal ehwal pelajar atau lokasi lain yang bersesuaian bagi memudahkan proses pengundian. Pada masa sama, SPR boleh melaksanakan projek perintis bersama mana-mana IPTA atau IPTS bagi menilai keberkesanan kaedah ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
“Langkah-langkah ini boleh dilaksanakan bagi memastikan pelajar dari Sabah dan Sarawak tidak terpinggir daripada proses demokrasi. Ia juga mampu memupuk kesedaran sivik serta semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Menurutnya, cadangan itu selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap warganegara untuk mengundi, dan dengan kemudahan teknologi masa kini, pelaksanaan undi pos untuk pelajar antara wilayah bukan sahaja wajar, malah praktikal serta inklusif.
Sabah dijangka berdepan PRN tidak lama lagi bagi memilih wakil rakyat baharu di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). SPR dijadual bermesyuarat pada 16 Oktober ini untuk menetapkan tarikh-tarikh penting berkaitan pelaksanaan pilihan raya tersebut.