Hajiji bersama peserta Felo SMJ yang menghadiri Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru golongan muda yang merangkumi separuh daripada 1.72 juta pengundi di Sabah supaya membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Beliau berkata, anak muda wajar memberikan peluang kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memperoleh mandat baharu bagi meneruskan agenda pembangunan negeri yang telah dirancang di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Daripada 1.72 juta pengundi di Sabah, separuh daripadanya ialah golongan muda. Jadi saya berharap mereka akan memberi peluang kepada kerajaan sedia ada kerana kita mempunyai hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah dan memajukan ekonominya.
“Kita juga mahu memastikan kestabilan politik di Sabah. Sebab itu saya tekankan kepentingan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) serta kesinambungan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji turut mengingatkan golongan muda agar tidak mensia-siakan peluang lima tahun sekali itu untuk menentukan masa depan Sabah melalui pilihan yang rasional dan berasaskan prestasi kerajaan.
“Oleh itu, buatlah pilihan terbaik dalam PRN17 demi menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. PRN kali ini adalah peluang keemasan untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat dan, yang paling penting, kerajaan yang didominasi oleh parti lokal,” tegasnya.
Katanya, anak muda perlu bijak menilai pencapaian semasa kerajaan serta menjadi ejen penyampai maklumat tepat kepada rakyat bagi menangkis persepsi dan fitnah pihak tertentu.
Dalam pada itu, Hajiji menjelaskan bahawa kerjasama GRS–PH amat penting dalam memastikan kestabilan politik di Sabah serta mewujudkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Apa yang kita mahu ialah kemajuan Sabah. Untuk itu, kita memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan. Malangnya, masih ada pemimpin yang berfikiran sempit hingga boleh merugikan masa depan Sabah.
“Sebab itulah kita membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama GRS–PH. Insya-Allah, dengan kerjasama ini kita akan mencapai kejayaan. Saya harap anak muda menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memilih kerajaan yang mempunyai dasar jelas dalam membangun ekonomi dan memajukan negeri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak lagi membuat keputusan berasaskan emosi seperti yang pernah berlaku pada masa lalu.
“Sudah tiba masanya kita belajar daripada sejarah. Sabah sering ketinggalan kerana pergolakan politik dan pertukaran kerajaan yang berulang. Contohnya, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo tertangguh empat tahun apabila projek itu dibatalkan selepas pertukaran kerajaan,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Hajiji turut berkongsi harapan dan aspirasinya untuk masa depan Sabah selepas lima tahun menerajui kerajaan negeri.
“Saya mahu melihat Sabah terus menikmati kestabilan politik agar kita dapat melaksanakan program pembangunan ekonomi dan menyediakan peluang yang lebih baik untuk anak muda.
“Kita kini berada dalam era teknologi di hujung jari — termasuk bidang kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) — yang mesti kita kuasai supaya Sabah tidak ketinggalan.
“Tetapi yang paling penting, kita mesti bersatu padu, mengekalkan kestabilan dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Insya-Allah, dengan itu Sabah akan terus maju dan makmur,” katanya.
































